Gila Dan Dramatik: Ketahui 5 Gaya Fesyen Harujuku

Negara Jepun sememangnya terkenal dengan trend dan fesyen mereka yang luar biasa. Harajuku yang unik telah berjaya menarik minat dan tumpuan penduduk dunia. Selain mempunyai tema yang dramatik dan berwarna-warni, terdapat beberapa gaya Harajuku lain yang perlu anda ketahui. 

1. Kogal/Ko-gyaru

Ko’ yang terdapat dalam perkataan kogal berasal dari perkataan kōkōsei yang telah dipendekkan. Secara umumnya, ia bermaksud sekolah menengah. Oleh sebab itu, para penggemar gaya ini akan berpakaian seragam sekolah yang merangkumi skirt pendek dan aksesori yang comel.  Gaya ini telah mencapai puncak popularitinya pada tahun 1995 dan beberapa tahun kemudian, ia digantikan dengan ‘ganguro berkulit gelap’.

2. Ganguro 

Ganguro gal (gyaru) mencabar konsep kecantikan tradisional Jepun. Berkulit gelap, warna rambut yang keperangan dan solekan yang berlebihan adalah ciri-ciri yang ditekankan dalam gaya ini. Gaya ini pertama kali muncul pada pertengahan 1990-an. Namun ia menjadi semakin merosot. Walau bagaimanapun, gaya ini dianggap telah mempengaruhi gaya banba, manba, dan yamanba yang lebih baharu dan menampilkan kulit yang lebih gelap, solekan yang lebih putih dan kadang-kadang rambut yang berwarna-warni seperti gula-gula.

3. Cosplay 

Jepun sememangnya negara pusat cosplay dan Jambatan Harajuku adalah salah satu tempat terbaik untuk memperagakannya di Tokyo. Cosplay dipengaruhi oleh permainan video, manga, anime dan hampir semua seni visual yang lain. Peminat-peminat akan menghasilkan kostum untuk diperagakan. Populariti cosplaying meningkat pada tahun 1990-an dan tidak menunjukkan sebarang pengurangan.

4. Goth-loli (Lolita Gelap atau Gothic Lolita)

Gaya ini lahir dari fesyen Lolita. Seperti Lolita, pakaian dipengaruhi oleh fesyen zaman Victoria klasik. Ia menampilkan solekan Gothic yang gelap dan sentuhan mengerikan pada elemen tradisional Lolita seperti busur, klip dan perhiasan. Gaya ini menjadi popular pada akhir 1990-an dan awal 2000-an dan masih ada penggemar di kalangan masyarakat Jepun hingga kini.

5. Sweet Lolita (Ama-Loli)

Manis dan feminin adalah tema bagi Sweet Lolita. Ia adalah versi yang bertentangan bagi fesyen Dark Lolita. Sweet Lolita menampilkan warna pucat dan sentuhan feminin pada pakaian tradisional Victoria.  Pakaian yang berwarna pastel, reben yang berwarna pink dan aksesori yang comel telah menjadi tumpuan dalam gaya ini. Gayanya hampir seperti kanak-kanak dan memberi tumpuan kepada aspek fantasi fesyen Lolita. Sweet Lolita terus mempengaruhi gaya Larme yang lebih moden

Penulis:

  • Afifah Basirah Binti Salleh adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Prof Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk baca artikel-artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca