Gigit, Cekik Dan Ikat Anak Lima Tahun Dengan Tali Basikal, Lelaki Ini Dihukum Penjara

Seorang lelaki berusia 36 tahun di Singapura telah dikenakan hukuman penjara selama sembilan bulan dan didenda sebanyak S$4,500 (RM14059) kerana telah menggigit, mencekik dan mengikat anak kandungnya sendiri.

Lelaki itu mengaku bersalah atas empat tuduhan termasuk menyebabkan kecederaan dan berlaku kasar terhadap kanak-kanak secara sengaja, dengan lima pertuduhan lain masih dalam pertimbangan.

Jika pesalah gagal membayar denda, dia akan dipenjara selama 20 hari lagi.

Tertuduh dipercayai mempunyai dua orang anak lelaki dan seorang isteri.

Pada November 2018, isterinya telah membawa kedua-dua anaknya yang berusia lima dan satu tahun pada ketika itu, ke poliklinik untuk suntikan vaksin.

Ketika mereka sedang bermain, anak sulungnya itu telah menggigit paha adiknya. Si isteri kemudiannya mengadukan hal itu kepada suaminya.

Dengan alasan mendisiplinkan anaknya, lelaki itu telah merotan kanak-kanak berusia lima tahun itu dan menggigit pahanya agar anaknya tahu bagaimana rasanya digigit.

Sebulan kemudian, anak tersebut telah dibawa ke hospital untuk temu janji bersama doktor dan seorang kakitangan perubatan telah menahannya di hospital kerana bimbang tentang kecederaan yang disengajakan.

Seorang jururawat juga telah menyaksikan cara lelaki itu bertindak kasar dengan anaknya. Dia dikatakan telah menarik kanak-kanak itu, memaksanya untuk baring dan menahan kaki kanak-kanak berkenaan.

Doktor juga mendapati kecederaan pada badan mangsa termasuklah luka dan lebam. Penjelasan yang tidak konsisten tentang bagaimana kecederaan itu berlaku turut menimbulkan rasa curiga.

Pada Mac 2019, lelaki itu sedang memandu untuk mengutip bungkusan apabila anak lelakinya itu muntah di dalam van tersebut.

Perkara itu telah menimbulkan amarah lelaki itu dan menyebabkan pergaduhan dengan isterinya ketika masih di dalam van.

Dia kemudiannya menarik anaknya dan mengangkatnya pada bahagian leher yang menyebabkan kanak-kanak itu tercekik.

Lelaki itu dilaporkan telah meletakkan tangannya pada bahagian leher kanak-kanak tersebut dan menggoncang badannya, menyebabkan anak lelaki tersebut menangis dan menjerit.

Dia juga telah memarahi anaknya dan berkata bahawa dia benci akan anak lelakinya itu. Seorang individu yang berada di kawasan berhampiran menyaksikan perkara tersebut dan telah menghubungi polis.

Tertuduh juga menggunakan tali basikal bercangkuk untuk mengikat tangan anaknya di dalam van sebelum memandu pergi.

Kanak-kanak berkenaan meronta-ronta untuk dilepaskan sehingga salah satu giginya tercabut.

Polis akhirnya berjaya mengenal pasti lelaki tersebut menerusi nombor pendaftaran van yang diberikan oleh saksi.

Keesokan harinya, anak lelaki yang sudahpun berusia enam tahun itu telah dibawa ke hospital dan ditahan selama enam hari.

Ketika berada di hospital, kanak-kanak tersebut telah ditemukan dengan kesan lebam pada bahagian lengan, gigi yang tercabut, kesan melecet pada lengan, leher dan bibirnya.

Pada bulan Julai 2019, lelaki tersebut terlibat dalam satu lagi insiden apabila isterinya menuduh dia berlaku curang.

Lelaki itu telah mencampakkan sebuah kerusi ke isterinya tetapi tidak mengena. Kemudian, isterinya lari ke arah lelaki itu dan menggigit bahu kanannya.

Lelaki itu membalas dengan mengigit tangan isterinya dan kemudian menelefon polis. Si isteri pergi ke dapur untuk mengambil pisau lalu menikam dada lelaki itu.

Pegawai polis tiba di tempat kejadian dan memisahkan pasangan tersebut. Kedua-dua daripada mereka telah ditahan dan dirawat di hospital.

Tertuduh telah mengalami beberapa kecederaan termasuk bekas gigitan, lebam dan luka tikaman sebesar 3 sentimeter pada bahagian dadanya.

Kanak-kanak lelaki tersebut telah diletakkan di bawah jagaan neneknya dan mangsa didapati mempunyai masalah Global Developmental Delay, iaitu keadaan di mana kanak-kanak lambat mencapai tahap tumbesaran yang sepatutnya.

Mangsa diletakkan di bawah Program Intervensi Awal bagi Kanak-Kanak kerana dia telah mula bersikap agresif. Meskipun demikian, pihak mahkamah memberitahu bahawa kelakuannya akan beransur pulih.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca