Genap 6 Tahun, Misteri Kehilangan MH370 Masih Belum Terungkai

Pada 8 Mac 2014, terjadinya satu misteri yang masih belum mampu dirungkai mana-mana pihak iaitu kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MH370). Ia masih belum terjawab sehingga hari ini.

Tanggal 8 Mac 2020, genap enam tahun pesawat penerbangan MH370 hilang daripada imbasan radar semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China.

Walaupun lama berlalu, seluruh dunia masih dalam keadaan buntu tentang apa yang berlaku sebenarnya terhadap pesawat itu. Keluarga 239 penumpang dan anak kapal pesawat Boeing 777 itu masih menanti pengakhiran episod tragis yang belum berkesudahan itu.

Malah, penemuan beberapa serpihan daripada sayap dan fiuselaj pesawat di Lautan Hindi, berhampiran perairan pantai barat daya Afrika, menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai bagaimana pesawat berkenaan boleh menyimpang jauh dari laluan asalnya.

Bagi mereka yang kehilangan orang tersayang yang berada di dalam pesawat itu, enam tahun adalah tempoh penantian yang menyeksakan bagi mendapatkan jawapan dan setiap kali ulang tahun kehilangan pesawat itu, keluarga dan sahabat akan mengenang nasib mereka yang hilang itu.

Pencarian secara meluas oleh pelbagai negara dijalankan sejurus pesawat itu hilang dan pencarian khusus kemudiannya menggunakan peralatan laut dalam yang canggih selama berbulan-bulan juga gagal untuk menemui bukti yang mencukupi untuk merungkai teka-teki ini.

Walau bagaimanapun, terdapat ura-ura pada awal tahun ini, usaha pencarian yang dihentikan itu akan disambung semula beberapa bulan lagi.

Mengulas mengenai perkembangan terkini itu, pakar penerbangan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Prof Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata, sebarang penyambungan semula pencarian perlu berdasarkan kepada petunjuk baharu yang boleh dipercayai, yang kini ia belum wujud.

“Kita perlu merancang pencarian bukannya memperkatakan (mengenai sentimen) dan terbabit dalam kerja sia-sia. Kita tidak boleh memberi harapan palsu yang boleh mendatangkan lebih banyak rasa tidak puas hati kepada waris,” ujarnya kepada Bernama, baru-baru ini.

Setiap tahun, ada sahaja teori baharu muncul mengenai MH370 dan akan dipatahkan oleh pihak berkuasa, sama ada dari Malaysia, China atau Australia, pihak yang terbabit dalam usaha mencari pesawat yang hilang itu.

Sehingga kini, Kementerian Pengangkutan Malaysia juga belum membuat sebarang keputusan untuk memulakan kembali pencarian memandangkan tiada petunjuk baharu yang dikenal pasti.

Kementerian juga perlu berunding dengan China dan Australia sekiranya keputusan dibuat untuk melancarkan semula pencarian.

Penyiasat penerbangan iaitu Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Mohd Haniff berkata, Kementerian Pengangkutan tepat dalam keputusan tidak menjalankan pencarian tanpa bukti baharu.

Abdul Rahmat Omar, bekas pegawai penyiasat Tentera Udara Diraja Malaysia, mencadangkan dalam keadaan semasa, mungkin Kementerian Luar boleh bekerjasama dengan rakannya di Madagascar, La Reunion dan negara-negara yang terlatak di barat daya Afrika.

“Kerajaan negara-negara yang terbabit boleh diminta untuk mengeluarkan notis memberitahu pihak berkuasa tempatan masing-masing di kawasan pantai sekiranya mereka menjumpai sebarang benda yang mungkin dikaitkan dengan pesawat malang itu.”

“Ini mungkin membantu mengecilkan kawasan lokasi terakhir pesawat,” menurutnya.

Sementara itu, ahli Geostrategis iaitu Azmi Hassan berkata, sebarang usaha pencarian akan membabitkan kos tinggi dan dengan itu perlu ada bukti baharu yang cukup kuat untuk membolehkan pencarian semula dilakukan.

“Bukti baharu yang diuar-uarkan baru-baru ini sebenarnya banyak berlandaskan model arus laut berbeza yang juga digunakan sebelum ini,” katanya Azmi Hassan.

Ringkasnya, tanpa sebarang bukti baharu, misteri terbesar dalam sejarah penerbangan dunia ini akan kekal tidak terungkai.

Rakyat Malaysia dan satu dunia juga mengharapkan sesuatu yang ajaib berlaku. Kehilangan tanpa sebarang perkhabaran membuat kita sentiasa tertanya-tanya apakah kesudahan kisah ini. Jadi, kita perlu sentiasa berdoa agar kehilangan ini menemui jawapan dan segala misterinya terungkai.

Untuk baca artikel lain berkenaan MH370, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca