Gempar Cahaya Terang Sinari Ruang Udara Di Sarawak, Ini Penjelasan Agensi Angkasa Malaysia

Misteri cahaya terang di langit Sarawak menjadi tanda tanya penduduk di sana pada awal pagi Ahad sehinggakan segelintir penduduk menyangka cahaya itu datang daripada meteor seakan-akan tahi bintang.

Terdapat satu rakaman tular di media sosial yang menunjukkan kejadian tersebut di mana bebola cahaya itu melintasi ruang udara di Jalan Bako, Kuching.

Menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), cahaya misteri berkenaan berkemungkinan merupakan serpihan daripada roket pelancar China.

Pihak mereka mengesahkan serpihan roket Long March 5B milik negara China melintasi ruang udara Malaysia serta dapat dikesan di beberapa kawasan sekitar Sarawak.

Menerusi kenyataan dikeluarkan, pemantauan secara berterusan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) melalui MYSA serta kenyataan oleh Agensi Angkasa China memaklumkan, kemasukan semula serpihan tersebut ke ruang udara bumi dikesan pukul 12.55 tengah malam semalam, waktu Malaysia.

“Serpihan roket itu telah terbakar semasa memasuki ruang udara bumi dan pergerakan serpihan yang terbakar turut melintasi ruang udara Malaysia.

“Ia dapat dikesan di beberapa kawasan serta melintasi ruang udara sekitar Sarawak,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, MYSA memaklumkan bahawa sisa serpihan yang terbakar direkodkan jatuh di sekitar Laut Sulu iaitu kawasan antara latitud 9.10 utara dan longitud 119.0° timur.

Ramalan terkini kemasukan semula serpihan roket berkenaan adalah pada 30 Julai sehingga 1 Ogos 2022.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca