Gemar Bela Kucing Gergasi, Gadis Ini Kongsi Tips Untuk Gemukkan Haiwan Kesayangan Anda

Kucing merupakan haiwan yang paling disayangi oleh Nabi Muhammad SAW. Sesiapa sahaja yang melihatnya pasti akan tertarik dek kecomelan dan telatahnya yang mudah mencuit hati manusia.

Seorang gadis bernama Aisyah Sulaiman sangat gemar membela dan merawat kucing sebagai haiwan peliharaan. Menariknya, kesemua kucing yang dipeliharanya sangat besar dan comel sehinggakan ia digelar sebagai ‘kucing gergasi’.

Menerusi akaun Facebooknya, gadis ini telah berkongsi tips kepada warganet berkenaan cara merawat haiwan tersebut sehingga menjadi besar dan montel.

Berikut merupakan 6 perkara yang harus diambil kira:

1. Baka

Baka merupakan antara faktor terpenting untuk menjadikan kucing anda montel dan besar. Awalnya, kucing peliharaan yang sedia ada di rumah gadis ini dikatakan berbaka campuran British Short Hair dan Domestic Cat yang berwarna kelabu.

Kucing peliharaan itu pula kemudiannya dikacukkan dengan haiwan belaan baharunya yang berbaka Persian dan Flat Face. Kacukan ini secara tidak langsung telah menghasilkan generasi kucing baharu yang berketurunan kelabu dan oren.

2. Pemakanan

Dari segi pemakanan, gadis ini memberi hidangan berlainan kepada haiwan kesayangannya mengikut peringkat pertumbuhan kucing tersebut. Sewaktu di peringkat kitten, kucing berkenaan diberikan makanan Royal Canin.

Setelah tumbuh dewasa, bekalan makanan ditukarkan kepada Taste Of The Wild Canyon & Rocky yang mana sangat baik untuk pertumbuhan dan penjagaan bulu serta badan si Meow.

Bagaimanapun, makanan ini hanya dibekalkan pada waktu siang sahaja kerana haiwan berkenaan akan dihidangkan dengan ikan selar rebus bersama nasi putih tanpa garam di sebelah malamnya.

Pesannya lagi, penjagaan makanan bagi kucing yang berbulu lebat merupakan sesuatu perkara yang tidak harus dipandang enteng. Sekiranya berniat untuk memberikannya makanan secara langsung, elakkan daripada membekalkan ia makanan yang bergoreng, sebaliknya rebus kosong tanpa sebarang garam.

3. Makanan tambahan

Makanan tambahan yang berfungsi untuk menggemukkan kucing sememangnya pernah diberikan kepada haiwan kesayangannya. Namun, kini sudah tidak lagi diamalkan.

Terpulang kepada individu untuk menggunakan supplement penggemuk atau tidak. Sekiranya enggan, cara tradisional yang paling efektif untuk menjaga bulu si bulus juga boleh dilakukan dengan mengamalkan pemakanan bahagian kuning dalam telur ayam.

4. Pasir

Berkenaan dengan pemilihan pasir yang sesuai, gadis ini tidak terlalu tegas dalam mengesyorkan kepada pembaca untuk menggunakan jenis pasir yang mahal atau murah. Namun, apa yang digunakan olehnya kini ialah Cat Sand dan Cat Litter.

Sekiranya menginginkan kesan yang lebih efektif, pembela kucing digalakkan untuk menggunakan pasir mahal kerana ia lebih cepat menyerap najis dan kurang bergumpal.

Untuk mengekalkan keselesaan dan kesihatan si bulus, penjaga turut digalakkan untuk sentiasa membersihkan bekas pembuangan najis secara konsisten dengan menggunakan peluntur agar tidak mudah terkena jangkitan virus Parvo.

5. Vaksin

Menurutnya lagi, kesemua haiwan itu telah diberikan suntikan vaksin. Lebih-lebih lagi untuk kucing yang berbulu lebat, suntikan ini harus diberikan kepada si bulus agar dapat mengelakkan ia daripada terkena penyakit kurap dan gatal-gatal.

6. Mandul

Kucing peliharaan yang telah disunat atau dikasi merupakan faktor yang mendorong untuk mereka menjadi semakin gemuk. Ini kerana kadar metabolisme si bulus menjadi semakin berkurang selepas ia dimandulkan.

Rumusnya, untuk memelihara si bulus sememangnya tidak mudah. Namun, kecomelan dan telatahnya yang mencuit hati pasti memberikan impak bahagia kepada pembela kucing.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca