Gelandangan Di Ibu Negara Akan Ditawar Latihan Dan Kerja Selepas PKP

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, satu keputusan telah dibuat sebagai inisiatif mengurangkan gelandangan di ibu negara yang kini berjumlah 800 orang.

Gelandangan di sekitar ibu negara akan diberi latihan dan kursus suai kenal pendek yang membolehkan mereka dapat pekerjaan bermula 1 Mei depan.

Menurut Annuar Musa, perkara ini telah dipersetujui oleh beberapa syarikat yang ingin bekerjasama dengan kementerian bagi merealisasikan hasrat berkenaan.

“Kita akan menyediakan peluang pekerjaan iaitu antara 500 ke 700 termasuk bekerja sebagai operator pengeluaran di kilang tertentu di Lembah Klang.

Mereka juga menjadi sebahagian daripada tenaga kerja bergaji harian yang akan dikendalikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya pada sidang media semalam.

Selain itu, beliau berkata pusingan pertama buat mereka yang terpilih akan ditempatkan di asrama yang dikendalikan oleh DBKL dan syarikat yang akan mengambil mereka bekerja.

Tambah beliau, satu tapisan akan dibuat dalam masa dua minggu untuk beri mereka pilihan sama ada ingin bekerja di kilang pembuatan sebagai operator pengeluaran dengan gaji permulaan RM1,400 seorang berserta elaun.

Mereka juga diberi pilihan untuk bekerja secara harian di bawah pengedalian DBKL sebagai pekerja am yang boleh mendapatkan pendapatan tidak kurang RM1,200 sebulan.

“Apa yang kita akan lakukan ialah mereka ini akan menjalani latihan untuk membolehkan kita membuat saringan apakah mereka sesuai untuk bekerja sebagai operator pengeluaran atau pekerja am DBKL,” katanya.

Annuar juga memaklumkan jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dilanjutkan, gelandangan terbabit akan dipindahkan di asrama untuk memulakan kehidupan yang baru.

Untuk rekod, Malaysia kini mencatat 4,346 kes positif COVID-19 dan 70 mangsa korban.

Untuk membaca artikel lain berkaitan COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca