Gaya ‘Peace’ Dalam Foto Berbahaya? Ini Penjelasan Daripada PDRM

Aksi manakah yang paling menjadi kegemaran anda untuk digunakan dalam foto? Tidak dinafikan bahawa ramai yang akan menjawab bahawa mereka suka menggunakan gaya peace.

Namun, tahukah anda bahawa gaya tersebut apabila digunakan dalam gambar boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri? Menerusi perkongsian Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman Facebook mereka, penggodam boleh mencuri maklumat peribadi anda seperti cap jari menerusi aksi tersebut.

Menurut posting tersebut, pakar penyelidik keselamatan dari National Institute of Informatics (NII) di Jepun mendedahkan bahawa cap jari tangan seseorang boleh dicipta semula melalui gambar yang diambil dari jarak tiga meter jauhnya.

Untuk pengetahuan anda, penggodam tidak memerlukan teknologi yang hebat untuk mendapatkan cap jari sebaliknya mereka hanya memerlukan gambar itu dalam resolusi yang tinggi!

Di samping itu, penggodam boleh mengakses maklumat peribadi seseorang seperti maklumat perbankan yang disimpan melalui telefon pintar ataupun tablet dengan mudah selepas mereka berjaya memperoleh cap jari individu berkenaan.

Untuk itu, PDRM memuat naik perkongsian tersebut sebagai amaran kepada semua orang untuk sentiasa berwaspada bagi mengelakkan maklumat peribadi mereka daripada jatuh ke tangan yang salah.

Posting itu menerima 2,900 perkongsian selepas ia dimuat naik pada hari Isnin lalu (2 Disember).

Dalam pada itu, Alphr melaporkan bahawa seorang penggodam iaitu Jan ‘Starbug’ Krissler berjaya mendapatkan cap jari seorang menteri pertahanan Jerman pada tahun 2014 dengan hanya menggunakan gambar menteri tersebut dalam resolusi yang tinggi.

Para pembaca digalakkan untuk tidak sesekali menunjukkan peace sign dalam foto supaya maklumat peribadi pembaca akan kekal selamat dan tidak jatuh ke tangan yang salah.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca