Gareth Bale Kembali Daripada Kecederaan, Baikkah Buat Real Madrid?

Satu berita yang separa baik buat Real Madrid dan para penyokong menjelang perlawanan La Liga menentang Espanyol setelah Gareth Bale diberikan lampu hijau untuk kembali berlatih bersama pasukan.

Foto: 90min.com

Kenapa separa baik? Kerana separuh daripada hati peminat Real Madrid berasakan ada baiknya beliau dah boleh kembali bermain, manakala separuh hati lagi pula rasa, “eh boleh ke dia ni?”

Ia baik jika Bale betul-betul fokus perform dan mahu membuktikan kredibilitinya sebagai superstar harapan Madridista. Tak baik jika dia masih ‘makan angin’ atau main takut-takut sebab nak elak kecederaan kembali berulang.

Pemain yang pernah mengalami keguguran rambut agak teruk sebelum menjalani rawatan rambut dan kembali bergaya dengan fesyen ikat rambut atas kepalanya ini telah berhadapan dengan kecederaan pada separuh masa ketika Real Madrid seri 2-2 dengan Villarreal dalam aksi pertama pasukan pada 2019.

Dengan Los Blancos tewas 6 daripada 20 perlawanan liga setakat ini, kepulangan Bale ini mungkin dinanti-nantikan oleh sesetengah peminat, atau Solari sendiri. Keputusan di atas padang perlulah diperbaiki segera oleh Real Madrid jika mahu terus mencerahkan peluang mengejar Barcelona dan memburu gelaran La Liga. ​​

Selain Bale, Toni Kroos, Marco Asensio dan Keylor Navas juga turut dijangka akan kembali daripada kecederaan masing-masing dan memperkukuhkan pasukan pada minggu-minggu akan datang. Untuk rekod, sepanjang ketiadaan Bale dalam enam perlawanan terakhir bersama Real Madrid, pasukan kita telah mencatatkan 2 kekalahan daripadanya.

Soalnya, sekembalinya Bale daripada kecederaan ini, adakah beliau akan membantu pasukan atau masih terbeban dengan tanggungjawab di bahu untuk menggalas tugas yang ditinggalkan Cristiano Ronaldo?

Ramalan perlawanan:

1. Espanyol 1-2 Real Madrid.
2. Bale dan Isco masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua.
3. Ramos akan ke depan menawarkan diri untuk ambil sekurang-kurangnya salah satu daripada sepakan percuma Real Madrid (jika ada).
4. Separuh daripada peminat di Malaysia yang menonton siaran langsung Espanyol lwn Real Madrid awal pagi Isnin nanti akan tertidur menjelang waktu rehat separuh masa.

Info perlawanan buat Madridista di Malaysia yang ingin bersengkang mata menonton siaran langsung Espanyol menentang Real Madrid:

Channel: 837 beIN Sports
Hari: Isnin
Tarikh: 28 Januari 2019
Waktu: 3.40 pagi

Sediakan kopi sebelum game!

Artikel Lain Untuk Di Baca