Gara-Gara Ugut Mahu Santau Polis, Buruh Ini Akhirnya Ditahan

Akibat mengugut anggota polis trafik kerana tidak berpuas hati dikenakan saman atas kesalahan jalan raya, seorang buruh telah ditahan dalam kejadian yang bertempat di Jalan Idris, Kuala Kangsar pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar iaitu ACP Razali Ibrahim, dalam insiden kira-kira jam 10.20 pagi berkenaan, pihak polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah sedang menjalankan operasi penguatkuasaan dan lelaki berusia 36 tahun itu disaman gara-gara tidak mengenakan tali pinggang keledar.

“Lelaki yang menaiki kenderaan jenis Perodua Kembara itu secara tiba-tiba mengeluarkan perkataan yang biadap dan menakutkan pasukan polis secara jenayah iaitu menyatakan niat untuk menghantar santau,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, lelaki itu juga memberi alasan yang dia tidak tahan untuk membuang air dan perkara itu menjadi punca dia tidak memakai tali pinggang keledar.

Setelah alasannya itu tidak dilayan pihak polis, dia mula mengugut mereka untuk menghantar santau. Ugutan itu ternyata membawa padah apabila dia dibawa ke IPD Kuala Kangsar untuk tindakan lanjut.

Pemeriksaan mendapati bahawa lelaki berkenaan tiada apa-apa rekod jenayah lampau. Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca