Gara-Gara Tuan Kedai Tidak Mahu Beri ‘Refund’, Wanita Ini Tergamak Baling Dan Pijak Anak Kucing

Lagi kes penderaan terhadap haiwan telah berlaku di China. Jika sebelum ini seorang lelaki pernah membaling anjing peliharaan ke lantai kerana berang dengan kos perubatan yang tinggi, kini, seorang wanita pula membuat perkara yang lebih kurang kejamnya.

Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Jilin, China berjaya merakamkan detik kejam seorang wanita yang telah membaling dan memijak seekor anak kucing di sebuah kedai haiwan peliharaan.

Kejadian yang berlaku pada 19 November lalu itu dikatakan berpunca daripada keengganan pemilik kedai haiwan peliharaan untuk memberikan pengembalian wang semula kepada wanita berkenaan.

Menurut laporan China News, satu pertengkaran telah tercetus antara wanita itu dan tuan kedai. Selepas beberapa ketika wanita itu dapat dilihat sedang duduk di atas sebuah kerusi di dalam premis berkenaan.

Rakaman CCTV mendedahkan wanita tersebut memukul sebuah beg yang mengandungi anak kucing. Dek kerana terlalu marah, dia telah mengeluarkan haiwan tersebut sebelum membalingnya ke lantai.

Tidak cukup dengan itu, wanita itu juga bertindak memijak anak kucing tersebut sebelum menyumbatnya ke dalam beg yang sama.

Menurut tuan kedai haiwan peliharaan itu, wanita berkenaan telah datang ke premisnya pada 14 November kerana mahu membeli seekor kucing ekoran haiwan peliharaannya telah menghilangkan diri.

Meskipun dinasihati tuan kedai supaya pulang dan mencari haiwan peliharaannya yang hilang, wanita berkenaan kembali semula ke premis itu keesokan harinya dan mendesak mahu membeli seekor kucing.

Tuan kedai akhirnya membenarkan waniat itu membeli seekor kucing namun sempat berpesan bahawa haiwan berkenaan tidak boleh dipulangkan semula.

Empat hari kemudian, wanita itu kembali ke kedai terbabit dan memberitahu dia sudah menemui haiwan peliharaannya yang hilang dan kini mahu memulangkan semula anak kucing yang dibelinya.

Apabila tuan kedai menolak permintaan itu meskipun ditawarkan dengan beberapa barangan haiwan lain, wanita itu mula naik angin.

Rakaman CCTV wanita kejam itu kini sudah tersebar di laman sosial dan dikecam hebat oleh warganet seluruh dunia. Kebanyakannya beranggapan pihak polis harus mengambil tindakan dengan tidak membenarkan perempuan itu mempunyai haiwan peliharaan.

Wanita berkenaan akhirnya telah meminta maaf kepada tuan kedai atas tindakan kejamnya. Malah, dia juga berjanji akan mengemaskini status kucing-kucingnya setiap hari.

Difahamkan, satu permohonan maaf telah dikeluarkan wanita terbabit di laman sosial miliknya di mana dia mengatakan dirinya sebenarnya seorang pencinta haiwan dan tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca