Gara-Gara Tidak Puas Hati, Lelaki Ini Bertindak Tendang ‘Rider’ Wanita Foodpanda

Tindakan seorang lelaki menendang penghantar makanan wanita sehingga terjatuh dalam satu insiden di Bandar Puteri Puchong, Serdang pada Selasa telah mengundang protes kumpulan berkenaan.

Berikutan insiden itu, sekumpulan penghantar makanan dilihat berkumpul di hadapan premis berkenaan dan melakukan protes terhadap perbuatan lelaki terbabit.

Memetik laporan Harian Metro, video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berdurasi 57 saat memaparkan penghantar makanan wanita terbabit ditendang beberapa kali oleh lelaki itu sehingga terjatuh.

Selain rakaman CCTV itu, turut menjadi tular di media sosial adalah video lelaki yang didakwa menendang wanita berkenaan dipercayai dirakam penghantar makanan lain.

Menurut salah seorang saksi kejadian, insiden tersebut dipercayai berlaku apabila lelaki terbabit didapati tidak berpuas hati kerana wanita yang menunggang motosikal itu memotong ketika dia ingin membuat pusingan U.

“Akibat kejadian, lelaki terbabit menunjukkan isyarat lucah sebelum bertindak menolak mangsa.

Mangsa turut ditendang sebanyak tiga kali di bahagian pinggang menyebabkan dia jatuh,” kata saksi yang tidak mahu dikenali itu.

Menurut saksi lagi, susulan kejadian itu, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Puchong untuk tindakan lanjut.

“Kedua-dua individu berkenaan sudah dirakam keterangan dan pengadu bersetuju untuk menyelesaikan kes berkenaan secara baik serta menarik balik laporan polis yang dibuat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan dalam kenyataannya mengesahkan bahawa pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK).

Kata Ismadi, kedua-dua pihak sudah dipanggil dan dirakamkan percakapan.

“Siasatan mendapati dalam kejadian itu terdapat perselisihan faham antara kedua-dua individu terbabit. Namun, tiada kecederaan dialami kedua pihak.

Kertas siasatan akan dilengkapkan dan diminta semua pihak bertenang dan tidak mengeluarkan komen yang boleh memecahkan keamanan dan mendatangkan kegusaran awam,” katanya.

Untuk baca artikel-artikel lain yang melibatkan penghantar makanan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca