Gara-Gara Takut Berkhatan, Kanak-Kanak Ini Lari Sampai Panjat Bumbung

Tanya sahaja mana-mana lelaki, pengalaman bersunat atau berkhatan sememangnya pernah menjadi ‘mimpi ngeri’ buat mereka suatu ketika dahulu. Selalunya, pelbagai peristiwa lucu akan berlaku sewaktu upacara wajib bagi kanak-kanak Islam itu.

Ada yang senyum dan tak sabar-sabar nak berkhatan, malah ada juga yang meraung sampai tak ingat dunia gara-gara terlalu takut. Dalam erti kata lain, mereka ini ada macam-macam kerenah.

Namun, lain pula insiden yang terjadi kepada seorang kanak-kanak lelaki ini di mana dia bertindak memanjat bumbung sebuah klinik kerana terlalu takut untuk berkhatan.

Dalam kejadian yang bertempat di sebuah klinik di wilayah Banten, Indonesia, kanak-kanak lelaki berusia lima tahun itu dilaporkan melarikan diri dari klinik berkenaan sebelum memanjat bumbung bangunan tersebut.

Difahamkan, dia berada di atas bumbung itu kira-kira dua jam untuk ‘mencari kekuatan’. Pelbagai cubaan telah dilakukan untuk memujuk kanak-kanak itu supaya turun namun dia tetap berkeras.

Seorang doktor yang merupakan pemilik klinik berkenaan sempat merakam ‘aksi’ kanak-kanak itu dan memuat naik foto tersebut di laman Facebooknya. Kiriman tersebut telah menarik perhatian seluruh warganet.

Menurut Dr Anik Sutari, ini merupakan kali pertama dia berdepan dengan insiden sebegini sepanjang bergelar doktor.

“Sepanjang kerjaya saya selama 20 tahun melakukan khatan ke atas ribuan kanak-kanak, ini merupakan peristiwa pertama saya melihat seorang kanak-kanak memanjat bumbung,” coretnya di laman Facebook.

“Semua orang berusaha memujuk (budak lelaki itu) tetapi tidak berani memanjat ke bumbung kerana bimbang kanak-kanak itu lari dan membahayakan keselamatannya.”

Setelah dua jam menunggu, Dr Anik memberitahu mereka terpaksa menghubungi seorang guru yang sangat rapat dengan budak lelaki itu bagi memujuknya.

“Memang benar, sebaik sahaja guru itu datang dan dengan sedikit pujukan akhirnya kanak-kanak itu akur dan turun dari bumbung,” tambahnya.

Malah, apa yang lebih mengejutkan adalah sebaik sahaja kanak-kanak itu turun dari bumbung, dia dengan rela hati masuk semula ke klinik itu untuk menjalani proses yang tergendala tadi. Dia juga dikatakan langsung tidak meronta atau menangis ketika berkhatan.

Secara keseluruhan, proses berkhatan budak itu selesai tiga jam dari waktu asal yang dijadualkan.

Artikel Lain Untuk Di Baca