Gara-Gara Stadium Didakwa Rosak Teruk Selepas Konsert, Lokasi Perlawanan Bola Sepak Ini Terpaksa Diubah

Perlawanan antara kelab Kawasaki Frontale dan Hokkaido Consadole Sapporo dalam jelajah J.League Asia Challenge 2022 yang sepatutnya diadakan di Stadium Thunderdome dekat Muang Thong Thani, Nonthaburi, Thailand pada 15 November ini terpaksa diubah ke lokasi lain kerana faktor kualiti padang.

Badan yang menganjurkan liga bola sepak di Jepun iaitu J.League menjelaskan dalam satu kenyataan bahawa keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keadaan padang dalam siri jelajah tersebut di Thailand.

Menerusi hantaran di laman Facebook, J.League mengesahkan bahawa pihaknya sudah dimaklumkan bahawa sebuah konsert akan diadakan di stadium itu pada 9 November lalu.

Sumber: Facebook J.League (Japan Professional Football League)/Jリーグ

“J.League ingin mempamerkan mutu permainan yang lebih baik di Thailand melalui Asia Challenge. Kami tahu sebuah konsert akan diadakan pada 9 November ini dan ia sedikit mencabar untuk mengadakan perlawanan bola sepak di Stadium Thunderdome.

Walaupun kerja baik pulih sedang dijalankan, J.League telah memutuskan untuk mengubah lokasi perlawanan terakhir bagi siri jelajah ini ke Stadium BG di Thanyaburi, Pathum Thani, Thailand.

Kami memutuskan untuk mengubah lokasi perlawanan ke Stadium BG bagi mempamerkan mutu permainan terbaik bola sepak J.League kepada peminat Thailand,” ujarnya.

Dalam pada itu, ASEAN FOOTBALL mengesahkan di laman Facebook bahawa perlawanan itu telah diubah ke lokasi lain selepas padang Stadium Thunder Dome mengalami kerosakan teruk akibat konsert Guns N’ Roses pada 9 November lalu.

“Para penganjur J.League Asia Challenge telah mengubah lokasi perlawanan antara Kawasaki Frontale dan Hokkaido Consadole Sapporo pada 15 November ini dari Stadium Thunder Dome ke Stadium BG.

Perlawanan itu diubah ke lokasi lain kerana padang Stadium Thunder Dome mengalami kerosakan teruk akibat konsert Guns N’ Roses pada 9 November lalu,” ujarnya.

Apa pendapat anda?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca