Gara-Gara Nama ‘Dr’ Di Kad Pengenalan, Ramai Sangka Anggota Bomba Ini Seorang Doktor

Ramai yang keliru dengan nama seorang Pegawai Bomba Kanan (PBK) II ini iaitu Dr-Rosdi Mat Yusoff di mana ramai yang menyangka bahawa dia merupakan seorang doktor.

Menurut Dr-Rosdi yang juga merupakan penyelia di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, dia pada mulanya kurang selesa apabila ramai yang memanggilnya sebagai ‘doktor’. Namun begitu, lama-kelamaan, dia layankan sahaja dan terima nama panggilan tersebut.

Apabila ditanya berkenaan kisah di sebalik namanya itu, berdasarkan cerita arwah bapanya, Mat Yusoff Awang, dia sepatutnya diberi nama Mohd Rosdi. Namun begitu, pihak berkuasa yang mendaftarkan namanya pada ketika itu tersilap tulis.

“Pada masa itu terkenal dengan filem Dr Rushdi lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan mungkin disebabkan terkesan dengan tajuk filem itu, dia tersilap daftar pada nama saya.”

“Tetapi bagi saya, nama saya ini sangat unik dan membawa tuah kerana orang senang ingat pada saya,” tambahnya lagi.

Menurut Dr-Rosdi, setiap kali dia pergi mendapatkan rawatan di hospital mahupun di klinik, kakitangan yang bertugas menyangka bahawa dia adalah seorang doktor.

Walaupun ramai yang bertanya lokasi klinik atau hospital yang dia bertugas, Dr-Rosdi akan berterus terang bahawa itu cumalah namanya semata-mata.

“Anggota di balai dan rakan-rakan di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah pun memanggil saya dengan panggilan ‘doktor’ kerana senang ingat.”

“Kalau ada anggota baru masuk terutama sekali Pegawai Bomba Bantuan (PBB) di sini, ada yang terkejut sebab dalam bomba pun ada ‘doktor’ tapi lama-lama mereka tahu juga keadaan sebenar,” katanya yang berasal dari Bedong, Sungai Petani.

Menurutnya lagi, setiap kali menghadiri ceramah berkaitan bomba, orang luar mesti terkejut dengan namanya itu. Pada masa yang sama, ada yang menghormatinya dengan memanggilnya dengan gelaran itu.

Namun begitu, nama ‘Dr’ itu tidak dikekalkan terhadap 4 orang anaknya yang berusia 8 hingga 21 tahun kerana menurutnya, biarlah nama itu menjadi namanya sahaja.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca