Hanya kerana meminta suami yang juga merupakan seorang ahli bina badan untuk mengemas rumah, seorang wanita telah ditahan dan didakwa sebagai ‘queen control’.
Valerie Sanders dari Catterick, Yorkshire Utara mendakwa bahawa dia mengarahkan suaminya iaitu Michael untuk berhenti pergi ke gimnasium dan menggantikan rutin itu dengan membantunya mengemas rumah.
Tidak semena-mena, wanita yang berusia 58 tahun itu dipenjarakan selama 17 jam atas tuduhan tidak mampu mengawal tingkah laku.
Namun begitu, kes tersebut digugurkan sebelum ia sempat dibicarakan.
Menurut laporan The Sun, Valerie memberitahu bahawa dia dilayan seolah-olah dia merupakan seorang penjenayah hanya kerana dia meminta suaminya untuk menolongnya mengemas rumah mereka.
Pada masa yang sama, Valerie juga mendakwa suaminya yang berusia 58 tahun itu sering menghabiskan masanya di gimnasium dan jarang sekali membantunya mengemas. Kalau tolong pun cuma membasuh kereta manakala kerja-kerja lain semuanya dilakukan oleh Valerie.
Menurut Valerie, dia meninggalkan satu nota di mana dia menyuruh Michael untuk melakukan kerja-kerja pembersihan di kediaman mereka sebelum dia akhirnya ditahan pihak polis.
Pasangan berkenaan berkahwin pada lima tahun lepas setelah bertemu secara dalam talian pada tahun 2012.
Valerie mengatakan bahawa suaminya itu terlampau obses dengan sukan bina badan setelah dia diterima bekerja sebagai pengurus di sebuah gimnasium.
“Dia berlatih sepanjang masa. Dia makan lima atau enam kali sehari dan mengisar semua makanannya.”
“Kami berhenti keluar makan. Saya bekerja dan dia berada di gimnasium dari awal pagi hingga lewat malam. Saya tidak jumpa dia di rumah langsung,” katanya.