Gara-Gara Menolak Vaksin, Sarjan Tentera Ini Dipecat Dan Bakal Hilang Pencen

Akibat enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19, seorang anggota tentera berpangkat sarjan, Wan Ramly Wan Seman, “diberhentikan secara tidak terhormat” walaupun telah berkhidmat selama 19 tahun tanpa sebarang rekod disiplin.

Anggota yang berpangkalan di Kem Rasa, Negeri Sembilan, dari Batalion ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja ini bakal kehilangan pencen yang layak diterimanya dalam tempoh 16 bulan lagi.

Wan Ramly yang sepatutnya ditamatkan perkhidmatan pada Januari 2023 telah menerima arahan pemberhentian perkhidmatannya daripada Kementerian Pertahanan yang bakal berkuatkuasa pada 26 Ogos ini.

Menurutnya, “saya masih percaya bahawa saya berhak menolak vaksin kerana kerajaan tidak mewajibkannya.”

Meluahkan rasa kesalnya, Wan Ramly turut menceritakan kepayahan yang dilaluinya selepas memilih untuk menolak pemberian vaksin.

“Salah satu sesi adalah dengan tujuh orang daripada mereka termasuk pegawai pemerintah, pegawai bertugas, doktor dan seorang ustaz. Saya diberi tekanan hebat dan dimarahi mereka.”

“Pada 10 Julai, saya didakwa di bawah empat seksyen Akta Angkatan Tentera 1972. Ini termasuk tidak mematuhi arahan untuk diberi vaksin yang wajib bagi semua anggota tentera dan hanya dengan mengatakan, “saya betul-betul tidak setuju untuk divaksin’,” katanya.

Permintaannya untuk dibicarakan di bawah Mahkamah Tentera ditolak sekeras-kerasnya oleh pegawai pemerintah.

Walaupun dikatakan melanggar arahan, Presiden Persatuan Patriot Nasional (PATRIOT), Mohamed Arshad Raji menjelaskan adalah tidak berperikemanusiaan untuk seorang anggota yang telah berkhidmat di awal usia untuk diperlakukan begitu.

Tambahnya lagi, dalam menangani isu disiplin anggota, belas kasihan perlu ada dengan mempertimbangkan status keluarga tentera yang terkesan.

Wan Ramly, bapa kepada tiga anak berkata, dia menghadapi kesukaran untuk mengurus anak-anaknya yang berusia tiga hingga sembilan tahun. Isterinya yang bekerja di sektor swasta menjadi satu-satunya sumber pendapatan keluarga.

Menurut Presiden Persatuan PATRIOT itu, “sarjan ini tidak melakukan jenayah, kesnya perlu dikaji.”

Artikel-artikel berkaitan untuk dibaca:

Artikel Lain Untuk Di Baca