Industri hiburan dikejutkan dengan berita bekas anggota kumpulan Kara iaitu Goo Hara yang membuat percubaan membunuh diri.

Percubaan menawatkan riwayatnya sendiri itu dipercayai dilakukan di dalam sebuah bilik yang terletak di tingkat 2 kediaman Hara. Rumahnya itu terletak di kawasan kejiranan Cheongdam, Seoul. Insiden ini berlaku pada hari Ahad lepas.

Sebelum melakukan tindakan itu, Hara telah memuat naik satu posting di akaun Instagram miliknya di mana dia mencoret, “Selamat tinggal”.

Posting itu sekali gus membuat pengurusnya berasa risau dan ragu-ragu dengan keadaan serta keselamatan Hara, lapor Astro AWANI.

Pengurus Hara kemudiannya bertindak menghubungi penyanyi itu namun panggilan itu tidak berjawab. Dia terus bergegas ke rumah Hara kerana bimbang sesuatu yang tidak diingini bakal berlaku.

Sebaik sahaja tiba di sana, Hara ditemui dalam keadaan tidak sedar di dalam sebuah bilik yang dipenuhi dengan asap.

Tanpa membuang masa, pengurusnya itu terus menghubungi talian kecemasan dan tindakannya yang cekap itu berjaya menyelamatkan Hara.

Menerusi laporan Yonhap News, Hara masih lagi tidak sedarkan diri namun pernafasannya sudah kembali normal.

Sebelum ini, Hara dikatakan mempunyai masalah bersama bekas teman lelakinya. Perkara itu telah memberikan kesan yang mendalam terhadap diri dan emosinya sejak tahun lepas.

Malah, Hara dan bekas teman lelakinya itu juga difahamkan pernah bertengkar dan memukul antara satu sama lain. Hara pernah mengalami kecederaan yang agak teruk gara-gara kejadian itu.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda