Gara-Gara Mencuri, Kepala Pelacur Dipotong Dan Disumbat Ke Dalam Patung Hello Kitty

Pada bulan Mei 1999, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun telah datang ke sebuah balai polis di Hong Kong untuk mengadu masalahnya. Menurutnya, dia telah diganggu oleh hantu seorang perempuan yang mati akibat diseksa. Beranggapan ia hanyalah sekadar gurauan semata-mata, polis tidak mengendahkan luahan gadis itu dan menyuruhnya pulang ke rumah.

Walau bagaimanapun, pihak polis menjadi tertarik dengan kisah remaja terbabit apabila dia memberitahu bahawa hantu berkenaan merupakan mangsa pembunuhan yang turut disertai olehnya.

Sejurus kemudian, rumah gadis berkenaan diserbu polis. Setelah disiasat, pihak berkuasa akhirnya menyedari bahawa mimpi remaja itu sebenarnya satu realiti ekoran penemuan satu rangka kepala seorang wanita yang disumbat di dalam patung Hello Kitty miliknya.

Kes terbabit dikenali sebagai ‘pembunuhan Hello Kitty’ dan dianggap sebagai salah satu kes pembunuhan paling kejam dalam sejarah Hong Kong.

Mangsa ‘pembunuhan Hello Kitty’

Sebelum dia menjadi mangsa pembunuhan kejam, Fan Man Yee sudah mempunyai kehidupan yang tragis.

Fan dibesarkan di rumah anak yatim setelah dia ditinggalkan keluarga. Ketika mencecah usia remaja, Fan telah terlibat dengan masalah penyalahgunaan dadah yang teruk. Demi memuaskan ketagihannya itu, Fan telah memilih untuk menjadi seorang pelacur. Pada usia 23 tahun, wanita itu telah berjaya mendapat kerja sebagai seorang pelayan di sebuah kelab malam.

Pada awal tahun 1997, Fan telah bertemu dengan Chan Man-lok, 34, yang merupakan seorang pengedar dadah dan bapa ayam. Beranggapan ia merupakan suratan takdir, Fan telah bekerja sebagai salah seorang pelacur untuk Chan.

Insiden malang dan kejam mula menimpa Fan apabila dia bertindak mencuri sejumlah wang daripada majikannya itu. Usai menyedari perlakuan Fan, Chan telah mengarahkan dua orang suruhannya, Leung Shing-cho dan Leung Wai-Lun untuk menculik wanita berkenaan.

Pada mulanya, Chan hanya berniat mahu memaksa Fan melacurkan diri sehingga dapat membayar semula jumlah wang yang dicurinya. Namun begitu, rancangan tersebut mula berubah arah tidak lama kemudian.

Penglibatan Ah Fong

Selama satu bulan, Fan Man Yee teruk dibelasah dan diseksa oleh Chan serta orang suruhannya. Wanita itu diikat di atas sebuah kerusi sebelum dibalun sehingga lunyai. Tidak cukup dengan itu, kulit Fan dibakar dan dia turut dirogol berkali-kali. Malah, Fan dipaksa menjamah najis manusia sebagai salah satu bentuk penyeksaan yang dialaminya.

Walaupun kisah penyeksaan Fan Man Yee ini sungguh kejam, namun pendedahan gadis 14 tahun tadi mungkin merupakan penambah perisa yang menjadikan kisah ini semakin menggerunkan.

Gadis 14 tahun yang mengadu kepada pihak polis perihal hantu wanita yang menganggunya merupakan salah seorang yang bertanggungjawab menyeksa Fan Man Yee sehingga mati.

Diberi gelaran Ah Fong oleh Mahkamah Hong Kong, gadis 14 tahun terbabit mendedahkan bahawa dia sebenarnya adalah teman wanita kepada Chan Man-Lok yakni bapa ayam kepada Fan Man Yee. Walaupun kesahihan cerita remaja itu diragui, polis percaya bahawa Ah Fong juga adalah salah seorang pelacur di bawah seliaan Chan.

Menurut Ah Fong, dia pernah melihat teman lelakinya menendang kepala Fan sebanyak 50 kali sebelum dia bertindak menyertai penyeksaan itu dengan memukul wanita malang itu berkali-kali. Apabila disoal mengenai motif kejadian, Ah Fong hanya memberitahu dia beranggapan ia merupakan satu perkara yang seronok untuk dilakukan.

Pelupusan mayat

Selepas sebulan diseksa dengan kejam, Ah Fong mendapati Fan Man Yee telah meninggal dunia di atas kerusi penyeksaannya. Demi menutup jenayah yang dilakukan, Chan membuat kesimpulan bahawa Fan mati akibat pengambilan dadah jenis methamphetamine yang berlebihan.

Mayat Fan telah diletakkan di dalam tab mandi oleh dua orang suruhan Chan sebelum jasadnya dikerat kepada beberapa bahagian. Kemudian, cebisan daging Fan dimasak untuk mengelakkan proses pereputan berlaku. Usai memasak, cebisan terbabit telah dibuang bersama-sama dengan sampah biasa.

Entah mengapa, Chan memilih untuk menyimpan bahagian kepala Fan. Selain daripada bahagian itu, Chan dilaporkan turut menyimpan satu daripada gigi milik Fan dan beberapa organ dalamannya di dalam sebuah plastik.

Kepala Fan tadi akhirnya disumbatnya ke dalam sebuah patung Hello Kitty bersaiz besar.

Perbicaraan

Sebagai pertukaran kepada perlindungan yang bakal diberikan pihak polis, Ah Fong telah bertindak memberi keterangan terhadap jenayah yang dilakukan Chan Man-lok dan dua orang suruhannya. Menurut Ah Fong, dia memilih untuk mengkhianati kekasihnya kerana sudah tidak tahan dihantui Fan Man Yee.

Walaupun pihak polis tidak dapat mengenal pasti punca kematian sebenar Fan, beberapa bukti lain yang berjaya dijumpai di tempat kejadian sudah cukup untuk menghukum Chan dan dua yang lain.

Menurut pihak polis, unit pangsapuri di mana Fan Man Yee diseksa dan dibunuh telah dipenuhi dengan pelbagai barangan Hello Kitty selepas pelupusan mayat wanita itu. Tiada siapa tahu mengapa perkara tersebut dilakukan dan siapakah pelakunya.

Artikel Lain Untuk Di Baca