Gara-Gara Memperkenalkan Tandas Uniseks, Murid Perempuan Enggan Menghadiri Sekolah

Ibu bapa pelajar Sekolah Rendah Deanesfield di Ruislip Selatan, London Barat telah melancarkan sebuah petisyen pada bulan lalu untuk menggesa penghapusan tandas uniseks.

Ibu bapa dan guru-guru mendakwa segelintir murid perempuan tidak mahu menghadiri sekolah kerana rasa tidak selamat dan malu untuk menggunakan tandas uniseks.

Selain itu, terdapat juga segelintir murid perempuan yang bimbang akan ditertawakan oleh murid lelaki kerana datang haid.

Seterusnya, ada juga murid yang tidak mahu minum di sekolah supaya mereka tidak perlu menggunakan tandas.

Tessa Katz telah memberi pandangan mengenai isu ini sebagai seorang doktor. Beliau berkata bahawa menahan kencing untuk tempoh yang lama secara berpanjangan boleh meningkatkan risiko seseorang untuk mengalami jangkitan kuman pada air kencing dan pundi kencing.

Beliau juga berkata, “Kesan psikologi pada kanak-kanak perempuan pula, mereka berasa tidak selamat untuk menggunakan tandas bercampur-campur.”

Ahli parlimen Tory iaitu David Davies berkata, “Sekiranya murid perempuan tidak selesa berkongsi tandas dengan murid lelaki, maka sekolah harus membuat peruntukan bagi mereka, bukan membiarkan mereka (murid perempuan) berhadapan dengan masalah.”

Menurut laporan Daily Mail, ibu bapa murid turut berang apabila mereka tidak dimaklumkan mengenai pengenalan tandas uniseks. Lebih membimbangkan apabila tandas uniseks tersebut dibina oleh pihak sekolah sebagai cara untuk memberi lebih ruang kepada kanak-kanak yang dikenal pasti sebagai transgender.

Seorang jurucakap Deanesfield berkata, “Kami akan terus menyokong ibu bapa berkaitan dengan sebarang kebimbangan dan kekhuatiran yang wujud mengenai perkara ini.”

Artikel Lain Untuk Di Baca