Gara-Gara Malas Cuci Mekap Sebelum Tidur, Bulu Mata Wanita Ini ‘Didiami’ Oleh Kutu

Memang tidak dapat dinafikan, wanita dan alat solek berpisah tiada. Majoriti wanita di muka bumi ini gemar untuk mengenakan mekap kerana ramai yang berpendapat ia boleh meningkatkan tahap keyakinan seseorang.

Namun begitu, ramai juga yang bersolek tetapi malas untuk mencuci mekap yang terdapat pada wajah. Lebih-lebih lagi kalau sudah seharian keluar, memang tidur dengan mekaplah jawabnya!

Bangun pagi boleh berswafoto dan muat naik di laman sosial dengan tanda pagar #IWokeUpLikeThis.

Ramai yang memandang remeh tentang hal ini. Membersihkan wajah sebelum tidur adalah amat penting dan ia wajib dilakukan oleh sesiapa sahaja. Sekiranya kita tidur bersama dengan mekap, segala kotoran akan menyebabkan pori-pori menjadi tersumbat dan ini akan membawa kepada pembentukan radang serta jerawat.

Bukan itu sahaja, malas mencuci mekap juga boleh menimbulkan kesan lain yang jauh lagi buruk. Kisah yang bakal kami kongsikan ini boleh bikin sesiapa sahaja yang malas mencuci mekap sebelum ini terus insaf dan ‘bertaubat’.

Menurut laporan Asia One, seorang wanita dari wilayah Hubei, China mengalami masalah mata kering dan gatal selain bulu matanya selalu gugur.

Setelah berjumpa dengan doktor, wanita berusia 32 tahun itu diberitahu bahawa ada tungau ‘mendiami’ bulu matanya.

Tungau atau kutu sangat kecil itu dikenali sebagai Demodex. Sel-sel kulit mati pada folikel bulu menjadi makanan kepada haiwan ini.

Pemeriksaan pada wanita tersebut mendapati bahawa terdapat banyak kutu sedang merangkak pada bahagian akar bulu matanya.

Doktor kemudiannya bertanyakan berkenaan penjagaan wajah dan alat solek yang digunakan wanita tersebut. Rupa-rupanya, dia sering tidur dengan mekap dengan alasan kesibukan kerja dan jadual yang padat menyebabkan dia tiada masa untuk mencuci muka.

“Patutlah enam bulan terakhir ini mata saya selalu kering dan gatal, bulu mata saya juga mudah gugur,” kata wanita tersebut.

Wanita itu disarankan oleh doktor supaya membersihkan wajahnya secara menyeluruh sebelum tidur bagi menangani masalah tersebut.

Bagi beberapa kes lain, keadaan ini boleh menyebabkan luka pada permukaan mata. Sisa mekap yang tidak dibersihkan dengan betul juga akan menyebabkan penyakit mata seperti radang kelopak mata dan jangkitan pada membran mata.

Seram, bukan? Jadi, bagi anda yang suka mengenakan mekap, jangan lupa untuk bersihkan wajah sebelum tidur!

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca