Seorang pelajar universiti yang dikenali sebagai Deng dilaporkan mati akibat terjatuh dari ketinggian 2,000 meter. Kematian gadis ini dikatakan berpunca daripada keinginannya yang mahu mengambil gambar atau selfie sewaktu berkunjung ke pusat pemandangan di Hua Shan, China.
Menurut Oriental Daily, Deng mengambil banyak swafoto dan memuat naik kesemua gambarnya di akaun media sosial untuk diperlihatkan kepada rakan-rakannya. Bagaimanapun, rakan kepada gadis ini mulai risau apabila teks yang dikirim belum mendapat respons daripada Deng sama sekali. Keluarga dan pihak universiti juga gagal menemukan Deng.
Sehubungan dengan itu, mereka segera menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan bagi mencari keberadaan Deng. Segala-galanya terjawab apabila pihak Hua Shan melihat rakaman kamera litar tertutup yang menunjukkan gadis itu terjatuh dari tebing gunung.
Jelas pihak Hua Shan, rakaman video itu memperlihatkan keberadaan lima orang pelancong dan dua kakitangan sewaktu kejadian berlaku. Ketika pelancong berkenaan dilihat sedang sibuk mengambil gambar, Deng sewaktu itu berdiri di hujung tebing puncak gunung untuk berswafoto sambil membelakangi pemandangan.
Oleh kerana keadaan permukaan tanah tidak rata, gadis berkenaan menjadi tidak stabil. Ditambah pula dengan kewujudan penghadang yang tidak kukuh dan rendah menyebabkan dia mudah terjatuh dari puncak gunung tersebut.
Ekoran daripada peristiwa yang berlaku, keluarga Deng menganggap bahawa kejadian berkenaan berlaku akibat kecuaian pihak Hua Shan yang tidak mengambil berat akan keselamatan pengunjung. Buktinya, kewujudan penghadang di sekitar tebing puncak gunung adalah sangat rendah iaitu setinggi kaki manusia.
Ketidakpuasan hati menyebabkan ibu dan bapa Deng segera melakukan tuntutan ke atas pihak pengurusan Hua Shan agar bertanggungjawab atas nasib malang yang menimpa anak gadis mereka.
Walau bagaimanapun, pemilik tempat pemandangan itu menolak pertuduhan tersebut dan menyatakan bahawa kejadian berlaku disebabkan oleh ketidakseimbangan Deng sewaktu berswafoto.
Meskipun tidak bersetuju untuk bertanggungjawab atas kejadian yang berlaku, pemilik Hua Shan menyatakan kesanggupannya untuk menyediakan wang berjumlah 40,000 yuan iaitu bersamaan dengan RM23,000 sebagai bantuan kemanusiaan kepada keluarga tersebut.
Rumusnya, berwaspadalah sentiasa lebih-lebih lagi ketika berkunjung ke tempat baharu.