Kejam dan tidak berperikemanusiaan. Gara-gara lambat menerima upah mengasuh, seorang pengasuh tergamak mendera seorang bayi 14 bulan di Kuching, Sarawak.
Suspek dikatakan tidak memberi makan dan minum kepada bayi malang itu selama tiga minggu. Selain itu, suspek juga mengaku memukul bayi berkenaan menggunakan botol susu di kepala sebanyak dua kali dan tangan agar bayi tersebut berhenti menangis.
Akibatnya, bayi tersebut dikatakan diserang sawan dan jangkitan kuman pada paru-parunya. Pemeriksaan perubatan oleh doktor juga mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian kepala bayi berkenaan.
Atas laporan pihak hospital, pihak polis telah bertindak menahan seorang wanita berusia 23 tahun pada 27 Oktober yang lalu bagi membantu siasatan.
Suspek difahamkan menjaga bayi tersebut selama tiga minggu dari 8.00 pagi hingga 10.30 malam kerana ibu mangsa terpaksa bekerja. 23 Oktober merupakan tarikh akhir ibu mangsa berjumpa dengan anaknya itu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sumber: Astro Awani