Pemain hoki wanita negara iaitu Hanis Nadiah Onn digantung daripada tugasan skuad kebangsaan dalam semua aksi di peringkat antarabangsa termasuk temasya Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) Kemboja 2023 yang bakal berlangsung pada bulan Mei ini.
Hanis telah digantung daripada mewakili Malaysia selepas dia didapati bersalah kerana meninggalkan komen di Instagram yang berbaur perkauman berhubung konsert AR Rahman pada 28 Januari 2023.

Menerusi kenyataan rasmi di laman Facebook Kementerian Belia dan Sukan (KBS), keputusan itu dibuat hasil mesyuarat antara Jawatankuasa Siasatan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) pada 7 Februari lalu.
“Jawatankuasa Siasatan yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Pengarah MSN iaitu Dato’ Ahmad Shapawi Ismail dan Presiden KHM Dato’ Sri Subahan Kamal telah memanggil Hanis untuk sesi temu bual bagi membantu siasatan isu berkenaan.
Dalam sesi berkenaan, Hanis mengaku telah memuat naik ciapan komen ‘bau best la kat dalam tu’ berserta emoji tertawa sehingga mengeluarkan air mata. Ciapan itu dibuat mengekori komen warganet lain pada muat naik berkenaan,” ujarnya.
Atlet itu turut menegaskan bahawa dia tidak mempunyai sebarang sentimen perkauman ketika memuat naik komen berkenaan.
“Hanis menegaskan tidak mempunyai sebarang sentimen perkauman semasa memuat naik ciapan yang sekadar jenaka dan merujuk kepada keadaan stadium dipenuhi puluhan ribu penonton.
Beliau hanya menyedari wujudnya elemen berbaur perkauman setelah ditegur oleh warganet. Ekoran daripada teguran itu, Hanis telah memadam komen beliau pada pagi 29 Januari 2023 dan membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi laman media sosialnya,” tambahnya.

Hanis mengaku bahawa dia amat kesal dengan keterlanjuran ciapannya dan menegaskan bahawa dia bukan seorang yang rasis dan membesar dalam masyarakat majmuk di Kluang, Johor serta memiliki ramai rakan berbangsa India terutamanya sebagai atlet negara.
Jawatankuasa Siasatan juga telah memanggil jurulatih skuad hoki wanita negara iaitu Mohd Nasihin Nubli Ibrahim.
Mohd Nasihin berkata Hanis memiliki perwatakan merendah diri dan berdisiplin tinggi sepanjang latihan dan kejohanan sebagai pemain utama pasukan.
Beliau juga mengaku Hanis memiliki ramai rakan dalam kalangan bangsa India dan mereka bergaul rapat tanpa masalah ekoran sifatnya yang mudah mesra dengan rakan sepasukan.
Hasil daripada sesi temu bual dan setelah memperhalusi beberapa dapatan lain berhubung isu berkenaan, Jawatankuasa Siasatan telah merumuskan bahawa Hanis telah memuat naik ciapan yang berbaur perkauman kerana komen itu ditujukan kepada konsert dihadiri majoriti kaum India.
“Sehubungan itu, Jawatankuasa mendapati Hanis telah bersalah sebagai individu kerana membuat kenyataan atau komen secara terbuka di akaun media sosial miliknya yang menjurus kepada menghina, mengutuk atau mencaci sesuatu pihak lain.
Hanis juga didapati bersalah kerana ciapan komen yang boleh disalah erti atau menimbulkan salah faham, kegusaran ataupun kemarahan sesuatu pihak lain.
Sebagai pemain hoki negara, Hanis didapati bersalah kerana telah membuat komen yang mengakibatkan kerosakan kepada imej pasukan dan KHM yang jelas melanggar kod etika KHM,” tambahnya.

KHM akan menilai semula keputusan penggantungan Hanis daripada mewakili pasukan hoki Malaysia sekiranya atlet itu menunjukkan perubahan sikap positif.
“Sehubungan itu, Jawatankuasa Siasatan memutuskan untuk KHM tidak mempertimbangkan Hanis daripada mewakili pasukan hoki kebangsaan ke mana-mana tugasan antarabangsa termasuk temasya Sukan SEA Kemboja 2023.
Pihak KHM akan menilai semula keputusan ini sekiranya Hanis mempamerkan perubahan sikap yang positif sepanjang tempoh tersebut. Jawatankuasa berharap tindakan itu akan menjadi ingatan dan pengajaran berguna kepada Hanis serta semua atlet negara untuk sentiasa berhati-hati dengan sebarang hantaran atau ciapan di semua platform media sosial,” jelasnya.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: