Setiap haiwan mempunyai gelagat masing-masing. Selalunya, gelagat haiwan khususnya kucing memang menghiburkan, lebih-lebih lagi pada pencinta kucing. Baru-baru ini, tular di media sosial apabila seekor kucing telah ‘menghadiahkan’ seekor ular kepada tuannya sebagai ganti setelah memutuskan wayar earphone milik tuannya itu.
Insiden lucu berkenaan dikongsikan oleh pemilik kucing itu iaitu Haryanto Pherwhirra Ramadhani di salah satu group pencinta kucing di laman Facebook. Perkongsian tersebut mendapat perhatian warganet dan rata-rata terhibur dengan gelagat haiwan kesayangannya itu.
Menerusi posting itu, Haryanto menyatakan bahawa kucingnya tidak berhenti bermain dengan wayar earphone itu sehingga putus.
Sebaik sahaja melihat keadaan earphone tersebut, Haryanto terus memarahi kucing yang dianggap keluarganya sendiri itu sehingga ia membawa diri dan keluar dari rumah. Mungkin merajuk barangkali.
Setelah hampir 1 jam menghilangkan diri, kucing itu kembali dengan membawa seekor anak ular. Ia seolah-olah keluar untuk ‘membeli’ hadiah bagi menggantikan earphone yang telah dirosakkan tadi. Mungkin pada matanya, anak ular itu kelihatan persis earphone yang menjadi mainannya tadi.
Insiden berkenaan telah menjadikan kucingnya itu terkenal sehingga mendapat liputan di akhbar tempatan. Bukan biasa-biasa!