Gara-Gara Kek Ikan Panas, Seorang Perunding Perkahwinan Meninggal Dunia

Seorang perunding perkahwinan meninggal dunia kerana sesak nafas selepas memakan kepingan kek ikan yang terlalu panas. Makanan tersebut telah menyebabkan tekaknya melecur dan membengkak.

Daily Mail melaporkan bahawa Darren Hickey yang berasal dari Bolton, England baru pulih daripada serangan strok yang menyebabkan dia sukar berjalan dan bercakap selama tujuh tahun. Disebabkan itu, dia terpaksa tinggal di hospital selama 18 bulan.

Kejadian ini berlaku di dewan perkahwinan yang diuruskannya di Chorley, Lancashire pada bulan April lalu. Seorang cef meminta Darren untuk mencuba kek ikan yang baru dimasak ketika dia mahu keluar dari dewan perkahwinan tersebut.

Menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya, Darren segera mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Chorley. Walau bagaimanapun, dia hanya dibekalkan dengan ubat paracetamol dan Darren diminta untuk datang semula sekiranya keadaannya bertambah teruk.

Dia pulang ke rumahnya untuk berehat tetapi sakitnya semakin teruk. Apabila rakan serumahnya, Neil Parkinson cuba untuk menepuk belakangnya selepas mendengar dia tersedak, tiba-tiba Darren jatuh rebah ke lantai.

Darren dan Neil. Sumber: SWNS

Neil membawanya ke hospital tetapi kecederaan di tekak Darren amat parah. Rawatan tidak dapat dilakukan kerana ketiadaan doktor pakar. Darren meninggal dunia pada tengah malam tersebut.

Dr Patrick Waugh, seorang pakar patologi yang menjalankan bedah siasat terhadap mayat Darren memberitahu Mahkamah Koroner Bolton bahawa kes seperti itu sangat jarang berlaku.

Menurutnya, “Biasanya keadaan ini ditemui pada mangsa yang terbabit dalam kebakaran di bangunan yang menyedut asap atau wap panas ketika kemalangan industri yang membakar saluran udara.”

Artikel Lain Untuk Di Baca