Gara-Gara Isteri Boros Berbelanja Semasa Jualan Murah, Lelaki Ini Cuba Untuk Bunuh Diri

Semua orang sukakan jualan murah. Namun, wanita ini hampir kehilangan suaminya buat selama-lamanya berpunca daripada perkara tersebut.

Kejadian ini berlaku di Luzhou, Sichuan kepada seorang lelaki yang bernama Wang. Dia menjadi sangat tertekan sehingga mahu mengambil nyawanya sendiri apabila mendapat tahu bahawa isterinya iaitu Zhan berbelanja sakan semasa jualan murah untuk Singles Day (11 November).

Menurut laporan China Press, pihak polis menerima laporan pada malam Ahad lalu (10 November) bahawa seseorang mahu terjun dari bumbung sebuah bangunan 33 tingkat.

Mereka cuba untuk memujuk lelaki terbabit untuk turun dan menenangkannya kerana dia mungkin bertindak mengikut perasaan pada ketika itu. Rupa-rupanya, si isteri telah mengumpul jumlah hutang yang besar daripada promosi dan jualan murah bersempena dengan Singles Day.

Dilaporkan bahawa Zhan telah membelanjakan sebanyak 300,000 yuan (RM177,346) untuk beg tangan berjenama, minyak wangi, baju dan banyak lagi dalam talian.

Menurut lelaki yang berusia 29 tahun ini, itu bukan kali pertama buat dirinya. Bersempena dengan Singles Day tahun lalu, wanita terbabit membelanjakan lebih daripada 200,000 yuan (RM118,229) dan Wang membayar hutang tersebut untuk isterinya.

Susulan daripada kejadian tersebut, wanita berusia 29 tahun itu berjanji bahawa dia tidak akan berbelanja lagi. Namun, janji tersebut tidak bertahan lama.

Wang berkata bahawa dia seorang sahaja yang bekerja dalam keluarganya dan dia tidak memperoleh gaji yang banyak. Isterinya pernah bekerja di syarikat harta tanah tetapi kini sudah tidak lagi bekerja selepas kelahiran anaknya.

Selepas Wang mendapat tahu isterinya boros berbelanja untuk jualan murah berkenaan, lelaki terbabit menjadi keliru dan kecewa kerana dia tidak tahu bagaimana untuk membayarnya kali ini.

Pihak polis berjaya memujuk Wang selepas 30 minit untuk tidak membunuh dirinya sendiri. Mereka membawanya pulang dan memaklumkan ahli keluarganya.

Zhan berikrar bahawa dia tidak akan membeli-belah dalam talian pada masa hadapan. Dalam pada itu, Wang pula berkata bahawa dia akan cuba mencari cara untuk membayar semula hutang tersebut.

Anda perlu mengawal perbelanjaan anda tidak kira apa-apa jualan murah sekalipun supaya anda tidak terlibat dalam hutang yang tidak sepatutnya.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca