Gara-Gara Ingin Selamatkan Anak, Bapa Ini Alami Kerugian Sebanyak RM20,000

Seorang bapa yang juga pekebun sanggup membayar sebanyak RM20,000 demi menyelamatkan anaknya selepas disyaki terlibat dengan dadah.

Walau bagaimanapun, tindakan tanpa usul periksa itu akhirnya memakan diri sendiri apabila seorang warga emas yang berusia 74 tahun itu ditipu oleh sindiket penipuan melalui panggilan telefon.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata bahawa mangsa  dari Cameron Highlands itu menerima panggilan daripada seorang lelaki kononnya pegawai polis dari Kuala Lumpur berhubung penahanan anak lelakinya.

Sejurus selepas itu, mangsa diarahkan membanyar sebanyak RM100,000 bagi menyelesaikan kes itu sekiranya mahu anaknya itu dibebaskan.

Namun, mangsa memberitahu bahawa dia tidak mempunyai wang seperti yang diminta dan hanya mampu membayar sebanyak RM20,000 sahaja.

Mangsa yang berasa bimbang anaknya akan berdepan hukuman, terus sahaja membuat bayaran tengah hari semalam selepas suspek bersetuju dengan jumlah disebut mangsa.

Mohd Wazir berkata, keadaan sudah terlambat apabila mangsa menghubungi anaknya selepas selesai melakukan bayaran dan terkejut bahawa anaknya memberitahu tidak pernah ditahan polis atas sebarang kes termasuk dadah.

Mangsa telah membuat laporan polis di balai Polis Brinchang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tambah Mohd Wazir, pihak polis sedang mengesan seorang lelaki dikenal pasti sebagai pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes ini bagi membantu siasatan.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan sindiket penipuan, boleh klik pada pautan di bawah :

Artikel Lain Untuk Di Baca