Penularan wabak COVID-19 yang berlaku di negara kita banyak memberi kesan besar lebih-lebih lagi kepada sektor ekonomi sehinggakan kebanyakan syarikat terpaksa gulung tikar dan pekerja terpaksa diberhentikan.
Sama seperti apa yang berlaku kepada pasangan suami isteri ini yang terpaksa tinggal di dalam sebuah kereta sejak empat bulan lalu kerana tiada tempat berteduh selepas hilang pekerjaan akibat COVID-19.
Menurut sumber, J. Rajakumari dan suaminya P. Sivagamyselvan, kedua-duanya berusia 45 tahun sebelum ini bekerja sebagai pencuci kereta di Johor Bahru selama lapan tahun. Malangnya mereka terpaksa pulang ke kampung halaman di Kampar, sejak Julai lalu.
Rajakumari yang mempunyai penyakit kencing manis kronik berkata, dia dan suaminya terpaksa menjadikan kereta Proton Iswara milik mereka untuk berteduh dan tidur disebabkan keadaan rumah mendiang bapanya di Jalan Temoh, Kampung Baharin Pinji, di sini rosak teruk dan tidak boleh diduduki lagi.
“Kami berdua makan dan mandi di sebuah stesen minyak di Bandar Baru Kampar kerana tidak mampu menyewa rumah atau hotel. Kami memang tidak selesa dan susah hati kerana tinggal dalam kereta, tambah pula keadaan kesihatan saya tidak berapa baik,” katanya.
Walau bagaimanapun, keperitan yang dialami oleh pasangan ini berakhir apabila kisah mereka mendapat perhatian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pejabat Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri).
Malah, Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan dengan kerjasama NGO serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut membantu membina semula rumah peninggalan mendiang bapa Rajakumari.
“Ini adalah tanggungjawab sosial korporat dalam membantu golongan miskin tegar memiliki kediaman yang selesa seterusnya mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih sempurna,” jelas Nolee Ashilin selaku pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan.
Untuk rekod, seramai 32 anggota bomba telah ditugaskan untuk membina rumah itu yang dijangka siap sepenuhnya sebelum sambutan Deepavali, bulan depan.
Untuk baca artikel-artikel lain berkaitan COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah: