Gara-Gara Dituduh Tidak Punya Dara, Jurulatih Ini Larang Ahli Gimnas Sertai Sukan SEA

Buat pengetahuan semua, Sukan SEA ke-30 kini sedang berlangsung di Filipina. Acara sukan ini merupakan salah satu platform buat atlet-atlet Asia Tenggara untuk mempamerkan bakat dan kebolehan mereka demi merangkul gelaran juara bagi kategori masing-masing.

Ahli gimnastik Indonesia, Shalfa Avrila Sania, 17, tidak terkecuali daripada menyertai kontinjen sukan negaranya sehinggalah beliau tiba-tiba sahaja digugurkan dari pasukan oleh jurulatihnya.

Alasan yang diberikan jurulatih tersebut atas penguguran Shalfa adalah kerana ahli gimnas berbakat itu bukan lagi seorang anak dara.

Menurut laporan iNews Jatim, keluarga Shalfa menjadi berang sebaik mengetahui sebab penguguran gadis tersebut. Tambah mereka lagi, kenyataan jurulatih itu bukan sahaja tidak berasas, malah, telah menjatuhkan nama baik mereka.

“Dia (jurulatih) memberitahu anak saya, Shalfa sering keluar lewat malam bersama kawan-kawan lelaki. Soal siasat yang dilakukan mereka menunjukkan Shalfa bukan lagi seorang perawan,” ujar ibu ahli gimnas itu, Ayu Kurniawati.

Tambah Ayu, dia terkejut dengan kenyataan jurulatih terseut dan kini sedang berusaha keras mahu membersihkan nama anaknya.

Difahamkan, Shalfa Avrila Sania sudah memenangi hampir 50 pingat semenjak pertama kali menyertai sukan gimnastik yakni ketika berusia lapan tahun.

Keluarga Shalfa menegaskan bahawa gadis muda itu masih lagi anak dara ekoran laporan perubatan menyatakan selaput daranya masih utuh.

Sebuah laporan kini sudah dihantar ke Kementerian Belia dan Sukan Indonesia yang membantah penguguran atlet gimnas terbabit.

Selepas digesa pihak media, jurucakap kementerian, Gatot S. Dewa Broto mengeluarkan kenyataan memberitahu punca sebenar penguguran Shalfa adalah kerana masalah disiplin atlet itu. Walau bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa jurulatih telah membuat kesilapan dengan menuduh Shalfa bukan lagi seorang perawan.

“Kami akan menjalankan tindakah tegas ekoran hal ini kerana ia sudah melibatkan maruah keluarga dan langsung tidak ada kena mengena dengan prestasi seseorang,” katanya.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca