Gara-Gara Ditegur Tidak Memakai Pelitup Muka, Lelaki Ini Maki Hamun Dan Ludah Pekerja Kedai Serbaneka

Seorang lelaki di Ipoh, Perak dilaporkan bertindak di luar kawalan terhadap pekerja di sebuah kedai serbaneka. Lelaki tersebut dikatakan berang kerana ditegur tidak memakai pelitup muka ketika memasuki kedai berkenaan.

Tindakannya ketika itu berjaya dirakam salah seorang saksi yang berada di lokasi kejadian sebelum tular di media sosial sejak beberapa hari ini.

Dalam kejadian yang berlaku malam Isnin itu, lelaki berkenaan bukan sahaja memaki hamun pekerja namun turut meludah salah seorang daripada mereka ketika pertengkaran tersebut berlaku.

Walau bagaimanapun, pertelingkahan berkenaan tidak berlanjutan apabila salah seorang lagi pelanggan kemudiannya menarik lelaki berkenaan ke tepi selepas suspek bertinak meludah pekerja wanita itu.

Memetik laporan Harian Metro, susulan daripada kejadian itu, pekerja kedai berkenaan kemudiannya menghubungi pihak polis dan menyaksikan lelaki itu diberkas.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz, kejadian berkenaan berlaku selepas suspek mengeluarkan kata makian serta meludah wanita itu sehingga hampir menyebabkan tercetusnya pergaduhan.

“Bagaimanapun ia sempat dihalang oleh seorang lagi pekerja kedai itu selain video yang sempat dirakam ketika insiden mula ditularkan.

“Suspek ditahan selama 24 jam bagi membantu siasatan dengan dia turut mengaku berada dalam keadaan mabuk sewaktu kejadian,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu mencetuskan pergaduhan secara gempar di tempat awam selain bekelakuan aib.

Suspek juga turut dikenakan kompaun kerana telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Penahan suspek dan kompaun yang dikenakan itu menurutnya sekaligus menjadikan kes berkenaan dianggap selesai dan beliau pada masa sama meminta agar ia tidak lagi ditularkan.

Untuk baca artikel-artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca