Gara-Gara Cium Bibir Pelajar Berusia 14 Tahun, Guru Ini Dipenjara Selama 6 Bulan

Seorang guru di Singapura telah dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan pada Selasa gara-gara mencium bibir seorang pelajar yang berusia 14 tahun sebanyak dua kali.

Guru lelaki yang berusia 35 tahun itu mengaku bersalah terhadap tuduhan melakukan gangguan seksual kepada kanak-kanak bawah umur.

Difahamkan, tertuduh bertanggungjawab dalam mengelola aktiviti ko-kurikulum (CCA) sekolah yang turut disertai mangsa.

Menurut laporan Portal berita Channel News Asia, guru lelaki tersebut mengenali mangsa sewaktu sama-sama terlibat dalam CCA.

Bertitik tolak dari situ, dia mula mengirim pesanan ringkas kepada pelajar perempuan terbabit.

Sebelum insiden itu berlaku, tertuduh dan mangsa dipercayai pernah beberapa kali bertemu termasuklah pergi ke kedai gunting rambut dan minum bersama pada 18 Julai 2018.

Seminggu selepas itu, mereka sekali lagi keluar minum bersama di sebuah pusat beli-belah.

Pada 28 Julai 2018, guru tersebut telah membawa sekumpulan pelajar termasuk mangsa keluar bagi menonton sebuah pementasan.

Sebaik sahaja pementasan itu berakhir, tertuduh telah mempelawa mangsa untuk makan malam bersama di sebuah restoran Jepun. Pelajar perempuan tersebut dikatakan menerima ajakan itu.

Selesai makan malam, guru tersebut dipercayai meminta mangsa untuk duduk di sebelahnya sebelum meletakkan tangannya di bahu pelajar perempuan itu dan bertindak mencium bibir mangsa.

“Mangsa sangat terkejut dan bimbang,” kata pendakwa raya.

“Dia (mangsa) berasa sangat malu dan ketakutan. Tidak tahu apa reaksi yang patut diberi, dia (mangsa) hanya ketawa.”

Mangsa kemudiannya meminta tertuduh untuk menghantarnya pulang ke rumah. Walau bagaimanapun, mimpi buruk pada hari itu tidak berakhir di situ apabila guru tersebut bertindak bersandar pada mangsa sebelum mencium bibirnya sekali lagi.

Insiden yang berlaku dalam sekelip mata itu menyebabkan mangsa tergamam dan tidak mampu bersuara.

Mangsa mengadu perkara itu kepada seorang guru wanita di sekolahnya. Setelah mendapat tahu tentang apa yang terpaksa dilalui remaja tersebut, guru wanita itu membuat laporan polis yang sekali gus membawa kepada penahanan suspek.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca