Gara-Gara Buang Air Besar Di Ruang Tamu, Kanak-Kanak Ini Digantung Di Belakang Pintu Dan Dipukul Sehingga Mati

Seorang wanita berpangkat ibu kini sedang menjalani perbicaraan di mahkamah buat hari ketiga berturut-turut selepas dia disabitkan kesalahan mendera anak lelakinya yang berusia enam tahun dan membiarkan mangsa dipukul oleh teman lelakinya sehingga menyebabkan kematian.

Geraldine Perkins, 29.

Geraldine Perkins, 29, berkata ketika kejadian, dia hanya berdiri sambil memerhatikan kekasihnya, Rysheim Smith, 45, membelasah anak lelakinya, Zymere menggunakan sebatang penyapu dan batang langsir bilik air. Malah, wanita itu tidak berkutik saat Rysheim menggantung Zymere di belakang pintu bilik air untuk mengeringkannya sebelum mencampakkan kanak-kanak malang itu ke dalam sebuah bilik.

Insiden penderaan kejam tersebut dilaporkan berlaku di sebuah rumah yang beralamat 606 W. 135th St. apartment di Harlem pada September 2016.

Zymere Perkins, 6

“Saya lihat dia (Zymere) kelihatan agak lemah dan seperti tidak sedarkan diri. Tapi, saya beranggapan dia hanya berpura-pura,” ujar Geraldine di mahkamah.

Rysheim Smith, 45

Pada tarikh 25 September 2016 yakni malam terakhir sebelum kematian Zymere, Geraldine mendedahkan dia dan kekasihnya sedang makan malam di hadapan kanak-kanak enam tahun yang kelaparan tersebut. Tambahnya, Zymere dilarang untuk makan dan minum untuk tempoh 24 jam sebagai hukuman. Namun begitu, Geraldine berkata dia tidak dapat mengingati sebab mengapa anaknya dihukum sebegitu rupa.

Beberapa jam selepas Geraldine dan Rysheim sudah masuk tidur. Wanita itu berkata dia terjaga selepas terdengar bunyi seolah-olah seseorang sedang menyelongkar laci di dapur.

“Saya terjumpa Zymere di dapur ketika dia sedang menyelongkar tong sampah kerana terlalu lapar. Saya memarahinya dan terus merampas plastik sampah sebelum masuk tidur semula,” kata Geraldine.

Keesokan paginya, Geraldine dikejutkan daripada tidur sekali lagi selepas dia terdengar kekecohan yang berlaku di ruang tamu. Ternyata, Zymere sudah membuang air besar di ruangan tersebut dan sedang cuba untuk menyembunyikannya namun gagal.

“Dia (Rysheim) memukul anak saya bertalu-talu dengan menggunakan sebatang penyapu di bahagian dada dan kaki sambil memaki-hamun kanak-kanak itu,” terang Geraldine.

Geraldine berkata kemungkinan besar mengapa anaknya, Zymere bertindak membuang air besar di ruang tamu adalah kerana dia terlalu takut untuk berjalan ke bilik air seorang diri dalam gelap.

Kerry O’Connell yakni Pembantu Peguam Daerah ada bertanyakan kepada ibu terbabit mengapa dia tidak menghalang penderaan yang dilakukan ke atas anaknya itu.

“Sebab saya beranggapan membuang air besar di ruang tamu adalah satu kesalahan,” jawabnya.

Difahamkan, penderaan yang dialami Zymere tidak berakhir di situ apabila kanak-kanak malang itu diheret ke bilik air dan direndam sebelum dipukul sekali lagi menggunakan batang langsir.

Reysheim kemudiannya bertindak menggantung kanak-kanak terbabit menggunakan penyangkut baju di belakang pintu bilik air sebelum dia dicampak ke dalam sebuah bilik dan mendarat di atas lantai.

Tidak menyangka bahawa anaknya benar-benar sudah tiada, Geraldine dilaporkan meneruskan harinya seperti biasa dengan mengemas rumah dan membaca kitab Bible.

Walau bagaimanapun, Geraldine mendedahkan dia ada mencuba untuk menyedarkan anaknya itu namun gagal sebelum memilih untuk membawanya ke hospital.

Wanita itu dilaporkan mengambil masa 10 minit lagi untuk bersolek dan memakai rambut palsu sebelum pergi ke Mount Sinai St. Luke’s Hospital di Manhattan.

Hasil bedah siasat mendapati Zymere mengalami lebih 30 keretakkan pada tulang rusuknya selain mempunyai pelbagai luka dan lebam pada badan.

Geraldine Perkins akhirnya mengaku bersalah telah mengabaikan anaknya dan bersetuju untuk bekerjasama dengan polis untuk menyumbat Rysheim ke dalam penjara. Wanita itu berdepan hukuman penjara dua sehingga enam tahun.

Sementara itu, Rysheim Smith kini berdepan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah menyebabkan kematian Zymere dan beberapa pertuduhan lain.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca