Sungguh kurang ajar. Itu adalah kata-kata yang selayaknya digunakan bagi menggambarkan tindakan sesetengah individu yang dipercayai melumur serta meletakkan daging babi di atas motosikal milik anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di sebuah kawasan perumahan di Cheras, Kajang.

Kejadian yang dilaporkan berlaku pada Isnin lalu bermotifkan rasa tidak puas hati ekoran penguat kuasa MPKj terbabit mengeluarkan saman parkir kepada individu-individu berkenaan.

Menerusi rakaman video dan beberapa gambar di lokasi kejadian yang kini sudah tersebar luas, daging babi terbabit bukan sahaja diletakkan di bahagian tempat duduk motosikal, malah ia turut ditinggalkan di dalam topi keledar.

Satu lagi rakaman video menunjukkan anggota penguat kuasa MPKj yang menjadi mangsa sedang menyamak motosikal mereka dengan air tanah.

Sumber dari MPKj berkata, insiden terbabit merupakan tanda protes segelintir individu yang tidak berpuas hati atas tindakan anggota mereka yang mengeluarkan saman di kawasan komersial dan perumahan berkenaan.

“Tindakan penguatkuasaan undang-undang ini sebenarnya sudah ditangguh selama satu bulan. Namun begitu, sebaik sahaja kami mula menjalankan tugas, insiden ini berlaku. Anggota kami hanya menyedarinya apabila mereka kembali semula ke motosikal selepas selesai mengeluarkan saman,” katanya.

Difahamkan, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof mengesahkan bahawa pihaknya sudah menerima laporan berhubung isu berkenaan dan siasatan lanjut kini sedang dijalankan.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda
Sumber:

hmetro