Gara-Gara Bawa 13 Ekor Ayam Naik Bas, 4 Lelaki Ini Didenda RM1,000 Setiap Seorang

Mahkamah Majistret telah mendenda 4 orang lelaki sebanyak RM1,000 setiap orang gara-gara memindahkan 13 ekor ayam tanpa permit menaiki bas ekspres dari Kelantan ke Johor Bahru tahun lalu.

Kesemua orang kena saman (OKS) iaitu Nik Nor Ilham Mohd Affandy, 41, Mohd Zulhelmi Hamzah Zuhaimi, 27, Fauzi Yazid, 47, dan Raja Al-Faizal Raja Azlan, 27 mengaku bersalah.

Berdasarkan kertas siasatan pada 7 April tahun lepas, jam 11.20 pagi, satu siasatan oleh Jabatan Veterinar Johor bersama pegawai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah menahan sebuah bas ekspres di Terminal Pengangkutan Awam Larkin di Platform B.

Setelah pemeriksaan dilakukan, bas ekspres itu didapati telah membawa barangan terlarang iaitu 9 ekor ayam hidup, 4 ekor ayam telah mati dan 50 ekor burung murai batu.

Siasat lanjut mendapati bahawa bas ekspres terbabit melakukan aktiviti mengangkut barangan terlarang di dalam tempat penyimpanan kenderaan itu.

OKS 1 yang juga pemilik ayam berkenaan iaitu Nik Nor Ilham didakwa memindahkan 7 ekor ayam ke dalam tempat penyimpanan bas terbabit.

OKS 2, Mohd Zulhelmi pula memindahkan 4 ekor ayam yang telah mati tadi manakala OKS 3, Fauzi Yazid dan OKS 4, Raja Al-Faizal masing-masing ‘menyeludup’ seekor ayam ke dalam pusat penyimpanan bas ekspres berkenaan.

Kesemua OKS didakwa telah melanggar undang-undang tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada pengarah veterinar. Sebelum ini, pegawai pendakwa Jabatan Veterinar Johor Bahru iaitu Mohd Faiz Ajis meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada semua OKS.

Tindakan ‘menyeludup’ 13 ekor ayam dari Kelantan itu dikhuatiri mendatangkan penyakit flu unggas selain risiko penyebaran penyakit selesema burung di sepanjang laluan bas ekspres berkenaan.

Kesemua pesalah didakwa mengikut Seksyen 36 (7) Akta Binatang Pindaan 2013 mengikut perenggan Perintah Kawalan Penyakit Flu Unggas Negeri Johor 2005 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM15,000 jika sabit kesalahan.

Majistret, Nurasidah A Rahman, memerintahkan sekiranya mereka gagal membayar denda sebanyak RM1,000 setiap seorang, mereka akan menjalani hukuman penjara selama 3 minggu.

Pada masa yang sama, Nurasidah juga memerintahkan Nik Nor Ilham membayar wang berjumlah RM716 iaitu kos penjagaan dan rawatan ayam dirampas manakala Raja Al-Faizal dan Fauzi pula perlu membayar RM109 setiap seorang kepada Jabatan Veterinar Negeri Johor.

Artikel Lain Untuk Di Baca