Ganti Fungsi Log Keluar MySejahtera, MySJ Trace Boleh Dimuat Turun Hari Ini

MySejahtera Trace (MySJ Trace), satu ciri tambahan baru bagi aplikasi MySejahtera boleh dimuat turun oleh pengguna bermula hari ini.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membina ciri tambahan baru ini untuk memudahkan pengesanan kontak rapat kepada kes positif jangkitan COVID-19 dengan menggunakan teknologi bluetooth.

Menurut mereka, fungsi tersebut dibangun bagi memenuhi keperluan program cari, uji, jejak, asing dan sokong (FFTIS) iaitu salah satu program pemantauan KKM bagi mencegah dan mengawal penularan jangkitan COVID-19.

Orang awam dinasihati untuk mengemas kini aplikasi MySejahtera. Sumber: The Star

Sehubungan dengan pelancarannya, pihak kerajaan menasihati orang awam agar mengemas kini aplikasi MySejahtera bagi mengaktifkan fungsi MySJ Trace ini. Dan untuk memastikan keberkesanan fungsi tersebut, orang awam juga dinasihati untuk mengaktifkan bluetooth sepanjang masa bagi mendapatkan maklumat mengenai kontak rapat.

“Bagi memastikan keberkesanan aktiviti pengesanan kontak rapat kepada kes positif jangkitan COVID-19, pengguna mestilah mengaktifkan bluetooth dalam peranti mudah alih masing-masing sepanjang masa.

“Apabila seorang individu itu disahkan positif COVID-19, notifikasi akan diperoleh menerusi aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan kebenaran untuk berkongsi maklumat kontak rapat yang dikesan,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Sekiranya individu tersebut memberikan kebenaran, KKM akan mendapat akses untuk menilai risiko atas data-data kontak rapat yang dikesan melalui bluetooth. Selepas itu, aktiviti pengesanan kontak rapat yang dikenal pasti akan dijalankan oleh KKM.

Namun, sekiranya individu yang didapati positif COVID-19 tidak memberikan kebenaran, KKM tidak akan mendapat akses kepada MySejahtera lantas aktiviti pengesanan kontak rapat harus dilakukan secara manual.

Secara asasnya, MySJ Trace diperkenalkan untuk menambah baik fungsi Mysejahtera dalam mengesan kontak rapat. Sebelum ini aplikasi ini bergantung kepada log in manual pengguna di tempat-tempat tertentu untuk mengesan kontak.

Fungsi manual ini mempunyai dua kelemahan, satu ia mungkin mengesan anda secara salah sebagai kontak rapat atau kontak kasual (Positif yang salah). Kedua, anda mungkin tidak dikesan sebagai kontak rapat sedangkan anda berada dalam kawasan yang sangat dekat dengan individu positif (Negatif yang salah).

Jadi untuk mengurangkan risiko ralat ini berlaku, MySejahtera memperkanalkan fungsi baru yang mampu mengesan kontak rapat dengan lebih efisien dan berkesan iaitu MySJ.

Fungsi MySJ menggunakan pendekatan “dorongan masyarakat” dimana telefon pintar pengguna akan saling bertukar maklumat apabila berada dalam jarak tertentu. Hal ini dijayakan melalui penggunaan sokongan geolokasi dan juga bluetooth pada peranti.

Kerajaan turut memberi jaminan bahawa maklumat tersebut hanya akan mampu diakses oleh KKM jika diberikan akses.

“Aplikasi MySJ Trace menggunakan anomymized Unique User ID (UUID) dan tidak mengumpul maklumat pengguna serta geo-lokasi. Data tersebut hanya boleh diakses oleh KKM dan disimpan dalam peranti pengguna untuk tempoh 14 hari.

“Keseluruhan proses pengesanan kontak dan penyimpanan data juga adalah dijamin keselamatan dan kerahsiannya oleh kerajaan,” katanya.

Dengan pelancaran fungsi MySJ Trace ini juga, modul daftar keluar atau check-out akan diberhentikan dan dikeluarkan daripada aplikasi MySejahtera.

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca