Gangguan Bekalan Air Tidak Berjadual Di Selangor, Warganet Luah Rasa Geram Dan Kecewa

Berikutan gangguan bekalan air yang tidak berjadual sejak Khamis tempoh hari, warganet membanjiri media sosial semalam dengan luahan rasa geram dan kecewa. Masalah ini telah menjejaskan 1.2 juta pengguna di 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Ramai yang mempersoalkan mengapa masalah ini berulang dari tahun ke tahun dan memohon pihak berkaitan agar menangani isu ini dengan bertanggungjawab. Tidak kurang juga ada yang tidak dapat menahan diri daripada meninggalkan komen berbaur sindiran berhubung perkara itu.

Seorang pengguna Facebook, Amri Karim cuba memberikan fakta sebenar kepada pihak berkuasa mengenai jumlah kompaun dikenakan RM60,000 ke atas sebuah kilang didakwa dalang di sebalik pencemaran air itu, sebagai tidak berbaloi.

“Denda RM60,000, yang kena 1.2 juta pengguna. Kalau RM60,000 itu bagi kepada 1.2 juta orang, dapatlah seorang lima sen,” katanya.

Menurut siasatan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, didapati bahawa kilang di Rawang yang melakukan pembaikan dan penyelenggaraan mesin berat itu menjadi punca pencemaran bau di Sungai Selangor.

Apa yang lebih membimbangkan kerana ini bukan kali pertama kilang itu menyebabkan pencemaran bau di sungai kerana kompaun RM60,000 itu dikenakan terhadap kilang terbabit pada Mac lepas, semasa fasa pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, seorang lagi pengguna iaitu Fei Meng berkata, dia terfikir untuk menyaman pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap isu ini dengan menyatakan: “Bolehkah kita saman Air Selangor, LUAS, SPAN (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) dan kerajaan kerana ketidakcekapan dan gagal melaksanakan tugas untuk menjamin dan melindungi sumber air yang merupakan elemen paling penting bagi kehidupan.”

Menurut Jynna Ong pula, pelaku terhadap masalah ini perlu bertanggungjawab dan dihukum berat sekiranya didapati bersalah.

“Dalang di sebalik masalah ini harus bertanggungjawab sepenuhnya kerana menyebabkan kesengsaraan, kesusahan dan keseksaan kepada 1.2 juta penduduk Lembah Klang atau lebih!” katanya.

Ajay Dev turut menggesa Air Selangor untuk memandang serius perkara ini dan memikirkan bagaimana rakyat perlu menanggung masalah ini yang sering berlaku.

Heeran Kaur dari Petaling Jaya pula memuat naik petisyen untuk mengklasifikasi pelakunya sebagai pengganas kesihatan dan alam sekitar.

Tinjauan kami di laman twitter pula mendapati rata-rata warganet turut meluahkan rasa tidak puas hati mereka mengenai masalah yang berlaku.

Untuk baca artikel lain berkaitan gangguan bekalan air, anda boleh klik ada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca