Gangguan Bekalan Air Kembali Lagi, 1,292 Kawasan Terjejas

Pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada jam 2 pagi ini. Oleh itu, arahan henti tugas telah dikeluarkan untuk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang.

Henti tugas keempat-empat loji ini telah menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,196,457 akaun yang merangkumi 1,292 kawasan.

Ia melibatkan pengguna di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Sementara itu, bagi proses pencairan dan ‘flushing’ bahan pencemaran yang terdapat di dalam Sungai Selangor, Air Selangor telah mengambil tindakan segera dengan melepaskan air secara graviti dari HORAS 600 (kapasiti 285 juta liter sehari) dan pelepasan air mentah dari empangan (800 juta liter sehari).

“Dalam pada itu, Lembaga Urus Air Selangor telah melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam KL Larut dengan kapasiti 336 juta liter sehari untuk tujuan yang sama.

“Sehingga jam 6.30 pagi ini, pencemaran masih lagi di kesan di Sungai Selangor pada tahap 1 TON,” katanya.

Pihak Air Selangor berkata bahawa mereka akan menyediakan bantuan bekalan air dengan menggerakkan lori-lori tangki ke kawasan-kawasan yang terjejas. Walau bagaimanapun, keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

Para pengguna yang memerlukan bantuan bekalan air untuk kecemasan seperti urusan kematian boleh menghubungi 15300.

“Air Selangor amat memahami situasi para pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ini dengan mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas,” tambahnya.

Untuk senarai penuh kawasan yang terlibat, anda boleh klik pada pautan ini.

Dalam pada itu, seorang pengguna Twitter yang juga merupakan wartawan Astro AWANI, Fauzi Suhaimi telah pergi ke Sungai Gong di Rawang dan mendapati muncul bau kurang enak dipercayai bau minyak dari lokasi tersebut.

Untuk baca artikel-artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca