‘Game’ Beri Faedah, Lelaki Ini Turun 63.5 Kilogram Dengan Bantuan Pokemon Go

Siapa kata bermain permainan video tidak mendatangkan apa-apa faedah pada tubuh badan? Lelaki ini berjaya membuktikan sebaliknya selepas dia berjaya mengurangkan 63.5 kilogram daripada berat badan asalnya dalam masa satu tahun hanya dengan bermain Pokemon Go.

Tommy Monkhouse merupakan seorang pelajar universiti yang sebelum ini mempunyai berat badan 158 kilogram. Dek kerana mahu menambah keyakinan diri, dia bertekad mahu mengubah cara hidupnya.

“Saya mahu tampil lebih berkeyakinan dalam apa sahaja saya pakai. Ketika itulah saya terlihat foto lama saya dan sedar saya tidak mengenali lelaki yang berada di dalam itu,” ujarnya.

Menurut Tommy yang berasal dari London, United Kingdom, dia mencari jalan bagaimana mahu memotivasikan dirinya untuk menguruskan badan. Akhirnya, Tommy memutuskan untuk membuat akaun Pokemon Go.

Pokemon Go merupakan permainan telefon pintar yang dibangunkan dan diterbitkan oleh Niantic hasil kolaborasinya dengan The Pokemon Company. Pokemon Go menggunakan aplikasi GPS yang berada di dalam telefon bimbit pemain untuk mengesan, menangkap, berlawan dan melatih makhluk maya.

Menerusi satu temu bual, Tommy berkongsi bagaimana permainan Pokemon Go itu memainkan peranan penting dalam transformasi dirinya.

Menurut Tommy, dia mula berjalan di keliling kawasan kejiranannya untuk ‘menangkap’ makhluk maya dengan berpandukan permainan terbabit.

“Saya berfikir saya hanya berjalan selama 20 atau 30 minit. Tetapi, saya sebenarnya sudah keluar dari rumah lebih tiga jam,” ujarnya.

Satu tahun kemudian, Tommy telah berjaya mengurangkan berat badannya sebanyak 63.5 kilogram. Selain itu, pelajar berkenaan juga mempunyai hubungan yang rapat dengan komuniti pemain Pokemon Go lain di kejiranannya.

“Dalam masa satu tahun, saya melihat diri saya berubah daripada seorang lelaki yang besar dan tidak gembira dengan dirinya kepada seseorang yang lebih baik,” kata Tommy dalam satu temu bual.

Tambah Tommy lagi, dia kini sudah tidak menjadi seorang penyendiri dengan kehadiran Pokemon Go dalam hidupnya. Permainan terbabit bukan sahaja membantunya mengurangkan berat badan tetapi menambah rakan pelajar berkenaan.

Untuk membaca artikel lain berkaitan permainan video telefon pintar, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca