Gaji Masuk Lebih RM2.67 Juta Walaupun Ponteng Kerja Selama 15 Tahun

Seorang kakitangan awam di Itali didakwa menerima gaji bulanan sehingga berjumlah €538,000 (RM2.67 juta) walaupun ponteng kerja selama 15 tahun.

Pekerja di Hospital Ciaccio di Catanzaro itu telah dinamakan sebagai ‘king of absentees’ atau raja kaki ponteng oleh akhbar Itali.

Lelaki yang kini berumur 67 tahun itu dikatakan telah memecah rekod nasional kerana tidak hadir ke kerja selama 15 tahun.

Pekerja itu didapati mula tidak hadir ke kerja sejak 2005 sejurus dia diserap masuk untuk bekerja di hospital terbabit.

Selain itu, enam pengurus hospital yang didakwa terlibat dengan membiarkan lelaki ini untuk terus ponteng kerja juga turut disiasat.

Polis melaporkan bahawa lelaki ini juga didakwa telah mengugut salah seorang pengurus apabila beliau ingin membuat laporan polis.

Setelah pengurus berkenaan bersara, pengurus baru yang mengambil alih dan juga pihak sumber manusia langsung tidak perasan akan ketidakhadiran pekerja tersebut.

Penangkapan itu sebenarnya merupakan sebahagian daripada suatu siasatan yang lebih besar mengenai ketidakhadiran di sektor awam yang berleluasa di Itali.

Mengikut laporan oleh sebuah portal internasional, pihak kerajaan Itali telahpun memperketatkan undang-undang membanteras pekerja yang makan gaji buta pada 2016.

Sejak itu, pihak polis telahpun berjaya menangkap 35 orang pekerja di pekan Sanremo kerana tidak telus mengenai sistem pengurusan masa selama dua tahun.

Bukan itu saja, dua isteri daripada 35 orang itu tertangkap apabila cuba untuk memalsukan kedatangan suami mereka.

Malahan, ada juga yang ‘clock in’ kedatangan mereka sebelum keluar untuk berkanoe, membeli belah atau berjalan-jalan bersama rakan.

Artikel lain untuk dibaca:

Artikel Lain Untuk Di Baca