Pernahkah anda menyukai seseorang tetapi apa yang dirasakan itu hanya sekadar terbuku di hati? Namun apabila hati sudah bersedia untuk meluahkan rasa cinta, si dia pula menolak dengan alasan hanya menggangap anda sebagai teman biasa sahaja. Inilah yang dipanggil friend zone, bunyinya macam simple tetapi peritnya terasa sampai ke ulu hati.
Mengetengahkan konsep ini, satu filem keluaran syarikat produksi gergasi Thailand, GHD 559 iaitu Friend Zone bakal menemui anda semua pada 11 April ini. Filem yang bergenrekan komedi romantik ini dikhabarkan bakal menjadi filem pecah panggung seperti filem keluaran GHD 559 sebelum ini iaitu Bad Genius.
Filem ini berkisarkan dua orang kawan baik iaitu Palm (Naphat Siangsomboon) dan Gink (Pimchanok Luevisadpaibul) di mana Palm sebenarnya sudah lama menaruh harapan terhadap Gink. Pernah sekali, Palm cuba untuk meluahkan rasa cinta terhadap kawan baiknya itu tetapi malangnya, dia ditolak. Gink mengatakan bahawa sekadar berkawan sahaja sudah cukup baik buat mereka.
Setiap kali Palm cuba untuk memutuskan hubungan dengan mana-mana teman wanita yang tidak terhitung jumlahnya, Gink akan menasihatinya serta memberi semangat kepadanya. Perkara yang sama berlaku terhadap Gink di mana apabila dia mempunyai sebarang konflik dengan teman lelakinya, Ted (Jason Young) dia akan mencari Palm untuk meluahkan segalanya.
Perkara ini telah membawa masalah kepada hubungan Gink dan Ted kerana Ted berasakan bahawa teman wanitanya itu terlalu rapat dengan Palm. Pada suatu hari, Gink telah bertanya kepada Palm, “Have you wondered – what if we were an item?”.
Adakah dengan menyeberangi sempadan friend zone ini akan membawa Palm kepada kehidupan romantis yang dia impikan selama ini? Atau mungkinkah ia akan meletakkan titik nokhtah kepada persahabatan mereka yang sudah terjalin selama 10 tahun itu? Anda kenalah tonton filem ini nanti kalau nak tahu apa yang bakal terjadi!
Apa yang menariknya, terdapat adegan daripada filem ini yang dilakonkan di Malaysia. Bukan itu sahaja, OST bagi filem ini juga dinyanyikan dalam 8 bahasa termasuklah bahasa Malaysia. Mari kita sama-sama tonton trailer filem Friend Zone ini! Pasti anda semua tidak sabar menanti kemunculan filem ini, bukan?