Foto Ibu Koala Peluk Anak Selepas Kebakaran Menjadi Tular Dan Sentuh Hati Warganet

Sekeping gambar memaparkan seekor beruang koala yang ditemukan dengan kesan terbakar bersama anaknya telah menjadi tular dan menyentuh hati rata-rata warganet yang melihatnya.

Difahamkan, polis menjumpai haiwan tersebut sewaktu melakukan kerja-kerja menyelamat di Canungra, pedalaman Gold Coast pada petang Jumaat. Lebih menyedihkan, si ibu dijumpai dengan kesan lecur di bahagian belakang badan dan telinga.

Ketika ditemui, koala itu sedang duduk di atas sebatang pokok yang tumbang bersama anaknya yang tidak mengalami apa-apa kecederaan.

“Segala-galanya musnah di sekeliling mereka. Si ibu memeluk anaknya, seolah-olah sedang melindunginya,” kata Peter Waugh kepada The Beaudesert Times.

Kedua-dua haiwan itu kemudiannya dibawa ke pusat hidupan liar Queensland dan telah menerima rawatan.

Sejak beberapa hari lepas, kebakaran belukar besar-besaran telah berlaku di Canugra dan beberapa kawasan lain di pedalaman Queensland, Australia menyebabkan sekurang-kurangnya 17 keluarga hilang tempat berteduh.

Meskipun keadaan sudah berjaya dikawal, pihak berkuasa belum memberi kebenaran kepada orang ramai untuk kembali ke kawasan itu.

Artikel Lain Untuk Di Baca