Acara Tattoo Malaysia Expo 2019 yang berlansung pada 29 November hingga 1 Disember lalu telah mencetuskan kontroversi kerana mempamerkan peragaan model tanpa seurat benang.

Beberapa keping foto memaparkan model-model dalam acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu telah menjadi tular di media sosial dan mencuri perhatian ramai termasuklah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Tuanku Permaisuri Agong telah memuat naik satu kenyataan di laman Twitter menerusi akaun @cheminahsayang di mana baginda mempersoalkan tindakan penganjuran acara demikian.

Tweet berkenaan berjaya mencuri perhatian warganet di mana ia meraih lebih 11,000 ulang kicau dan 12,000 tanda suka dalam sekelip mata sahaja.

Menurut laporan media tempatan, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya iaitu Datuk Mohammaddin Ketapi sudah pun mengarahkan agar tindakan sewajarnya diambil ke atas penganjur acara yang menghimpunkan peserta dari 35 negara itu.

Menurut Mohammaddin, acara tersebut sudah terang lagi bersuluh melanggar tatasusila masyarakat dan langsung tidak mempamerkan wajah sebenar Malaysia.

“Adalah satu yang mustahil bagi kementerian untuk meluluskan sebarang permohonan penganjuran yang ada elemen-elemen lucah seperti itu sebab itu bukan budaya Malaysia, lebih-lebih lagi apabila majoriti rakyat Malaysia adalah beragama Islam.”

“Kami akan menanti laporan penuh siasatan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya mereka didapati melanggar syarat yang telah ditetapkan,” kata Mohamaddin.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda