Fosil Dinosaur Tidak Bergigi Ditemui Di Australia

Para pengkaji fosil di Australia telah mengenalpasti tulang kecil spesies haiwan pra-sejarah yang jarang dijumpai.

Fosil yang ditemui oleh penggali sukarela itu dikenal pasti sebagai “Elaphrosaur” iaitu dinosaur tanpa gigi yang hidup di negara itu pada 110 juta tahun yang lampau, lapor BBC.

Elaphrosaur yang membawa maksud “biawak yang tangkas” dipercayai spesies yang ada kaitan dengan Tyrannosaurus Rex (T-Rex) dan juga Velociraptor.

Fosil sepanjang dua inci itu dijumpai ketika penggalian berhampiran Cape Otway di Victoria pada tahun 2015.

Ia adalah tulang Elaphrosaur pertama yang ditemukan di negara itu.

Fosil itu dijumpai seorang sukarelawan iaitu Jessica Parker yang mengambil bahagian dalam penggalian tahunan anjuran Muzium Melbourne. Pada ketika itu, fosil itu dianggap berasal daripada reptilia terbang yang disebut pterosaur.

Namun, ketika ahli paleontologi di Swinburne University di Melbourne mengkajinya, mereka mendapati ia daripada dinosaur yang unik.

“Elaphrosaur mempunyai leher yang panjang, lengan yang kuat dengan tangan kecil serta badan yang agak ringan,” kata Dr. Stephen Poropat.

Fosil menunjukkan haiwan itu mempunyai panjang sekitar dua meter.

Walau bagaimanapun, fosil lain yang sebelum ini turut dijumpai di Tanzania, China dan Argentina menunjukkan bahawa ia boleh mencapai panjang sehingga enam meter.

“Elaphrosaur dewasa mungkin tidak makan banyak daging.

“Ketika dinosaur pupus, sifatnya agak pelik.

“Beberapa tengkorak Elaphrosaur yang diketahui menunjukkan spesies muda mempunyai gigi, tetapi yang dewasa kehilangan gigi dan menggantinya dengan paruh bebentuk tanduk.

“Kami tidak tahu apakah ini benar untuk Elaphrosaur atau sebaliknya, tetapi kita mungkin mengetahuinya jika kita menemui tengkoraknya, ” ujar Dr. Poropat lagi.

Cape Otway merupakan satu kawasan di mana kerap hasil fosil dijumpai.

Pelbagai jenis fosil haiwan dan lima spesies dinosaur telah dikenal pasti di lokasi tersebut, lapor ABC News.

Antara yang ditemukan termasuk fosil dinosaur pemakan tumbuhan yang dijumpai pada tahun 2018.

Untuk baca artikel lain berkenaan haiwan prasejarah, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca