Fizi Kesal Dan Akan Tampil Buat Permohonan Maaf Secara Terbuka

Baru-baru ini kecoh di media sosial mengenai watak Fizi yang menggunakan ayat menyinggung perasaan Upin & Ipin dalam episod berjudul Syahdunya Syawal yang disiarkan pada Hari Raya pertama di saluran MNCTV, Indonesia hingga mencetuskan perbalahan.

Peminat dari Indonesia rata-rata mengambil serius tentang perkara berkenaan dan meninta watak itu membuat permohonan maaf.

Oleh kerana telah mendapat desakan daripada banyak pihak, penerbit Upin & Ipin akan memastikan Fizi membuat permohonan maaf secara terbuka dalam satu video kepada semua peminat.

Burhanuddin Md Radzi selaku Pengarah Urusan Les’ Copaque Production berkata bahawa pihaknya sedang dalam proses menyiapkan video permohonan maaf itu.

Burhanuddin berkata, platform untuk menyiarkan video permohonan maaf tersebut tertakluk kepada stesen penyiaran MNCTV, Indonesia.

“Disebabkan watak Fizi yang mencetuskan kemarahan dalam kalangan penonton dan peminat siri animasi ini, dia sendiri yang akan kita tampilkan membuat permohonan maaf.

“Semua urusan berhubung penyiaran permohonan maaf itu kita kena berurusan dengan stesen televisyen (TV) terbabit.

“Semoga selepas ini netizen akan kembali tenang dan cool down,” katanya.

Pada Hari Ahad lepas, dialog Fizi dalam episod tersebut telah menimbulkan kemarahan orang ramai apabila dia menyinggung perasaan kembar itu dengan berkata bahawa tiada syurga buat mereka yang tidak mempunyai ibu.

Selepas kejadian itu, komen ‘Fizi is cancelled’ menjadi tular di media sosial terutamanya di Twitter.

Burhanuddin berkata, reaksi terhadap dialog Fizi itu membuktikan siri animasi Upin & Ipin dekat di hati peminat termasuk di Indonesia.

“Ini membuktikan dengan jelas mereka (penonton Indonesia) sangat ambil berat dan sayangkan Upin Ipin. Disebabkan itu, ramai yang teremosi apabila Fizi berkata syurga tiada buat anak yatim seperti mereka.

“Sekalipun karakter animasi ciptaan manusia, apa yang dipersembahkan seolah-olah mereka wujud di alam realiti.

“Apapun, tidaklah serangan penonton itu terpalit juga pada penerbit disebabkan mereka pun faham, ia sekadar watak dalam lakonan.

“Ada sebab dialog dilontarkan Fizi termasuk babak itu diwujudkan. Ini kerana persoalan di mana syurga bagi anak yatim, terus berlegar dalam fikiran kita,” katanya.

Untuk pengetahuan, setiap siri Upin & Ipin sudah mendapat permintaan yang tetap dari saluran MNCTV, Indonesia selepas ia berjaya menarik jumlah penonton kanak-kanak mahupun dewasa yang ramai. Siri Upin & Ipin juga dilaporkan sudah memasuki musim ke-14 di Indonesia.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan siri animasi di Malaysia, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca