Firaun Tut Dibunuh Badak Air? Ini 7 Perkara Yang Anda Tak Sangka Tentang Mesir Purba

Semasa zaman sekolah dulu, apa subjek yang anda suka?

Kalau saya, subjek bahasa dan berbentuk penceritaan seperti sejarah dunia macam Tamadun Indus, Tamadun Mesir dan Zaman Renaissance.

Manakala yang paling tak minat pula adalah subjek Fizik sehingga dimasukkan ke ICU (Intensive Class Unit) untuk pelajar lemah tahap kritikal bagi subjek itu.

Andai sejarah ditulis semula, saya pernah berharap bahawa buah durian yang jatuh atas kepala Isaac Newton, bukannya epal.

Sebab saya selalu disuruh cikgu untuk kira berapa kelajuan gajah yang terjun bangunan di papan putih dalam kelas Fizik. Tapi tak apa, zaman itu sudah lama berlalu. Tinggal sejarah.

Mari kita belajar balik tentang Tamadun Mesir Purba yang mungkin tiada dalam buku teks:

1. Membela Banyak Haiwan

Orang Mesir zaman dulu adalah antara tamadun terawal yang membela haiwan di dalam rumah.

Mereka memuja haiwan-haiwan seperti singa, anjing, babun dan yang paling disayangi adalah kucing sebab dipercayai ada kaitan dengan sembahan mereka.

Kebanyakan binatang ini ada tempat khas dalam rumah, diawetkan sebelum dikebumikan bersama tuan selepas mereka mati.

2. Mekap Tanpa Mengira Jantina

Rupanya eyeshadow, eyeliner dan lipstik ni dah wujud sejak 7,000 tahun yang lalu. Rakyat Mesir purba yang mula-mula sekali kenal dan pakai mekap.

Lelaki turut tidak terkecuali sebab percaya yang solekan ini berkaitan dengan perkara magis.

Mereka memakai celak dan maskara dengan menggunakan kayu, tulang dan gading. Kaum wanita pula akan dengan cat merah pada pipi mereka dan menggunakan inai pada tangan dan rambut.

Cleopatra dikatakan pernah pakai gincu yang diperbuat daripada kumbang merah yang dihancur lumat.

3. Cleopatra VII Bukan Keturunan Mesir

Menurut laman sesawang History, walaupun dilahirkan di kota Alexandria, susur galur Cleopatra ini bermula di Greek-Makedonia dan dia merupakan keturunan Ptolemy I iaitu orang kanan Alexander the Great.

Dinasti Ptolemaic yang pernah memerintah Mesir (323-30 Sebelum Masihi) masih mengekalkan identiti dan budaya mereka sebagai orang Greek.

Cleopatra terkenal kerana dia antara orang terawal daripada dinasti Ptolemaic yang fasih berbahasa Mesir.

4. Piramid Bukan Dibina Oleh Hamba Abdi

Hidup sebagai seorang buruh pembina piramid bukan mudah. Namun makam besar itu bukan dibina oleh hamba tetapi pekerja upahan.

Buruh binaan tersebut pula merupakan para artisan yang memiliki kemahiran seni yang tinggi. Lukisan graffiti ditemui pada dinding monumen tersebut.

5. Berat Badan Firaun Mesir Selalunya Berlebihan

Sejarawan berpendapat yang diet orang Mesir zaman dulu adalah roti, wain, bir dan madu.

Hasil pemeriksaan ke atas mumia-mumia mendapati yang raja-raja waktu itu tidak sihat, gemuk dan menderita diabetes.

Contohnya adalah Ratu Hatshepsut yang legend itu. Walaupun ukiran di makamnya menggambarkan bahawa beliau seorang yang langsing dan fit, sejarawan percaya yang ratu tersebut sebenarnya obes dan botak.

6. Firaun Tut Mungkin Dibunuh Oleh Badak Air

Tutankhamun ini menjadi firaun selama 10 tahun sebelum meninggal dunia pada usia 19 tahun.

Punca kematiannya menjadi teka-teki kepada para pengkaji. Salah seorang penyelidik berteori yang kemungkinan raja muda yang diawet tanpa jantung dan dada berlubang itu mati digigit badak air.

Sebelum pupus, sungai Nil dulu pernah dihuni oleh badak air dan orang Mesir purba memburunya sebagai aktiviti riadah.

7. Ada Ramai Doktor Pakar

Doktor pada zaman dulu dikatakan ‘jack-of-all-trades’ tetapi berlainan pula di Mesir apabila satu penyakit, satu doktor. Tidak lebih dan tidak kurang.

Setiap doktor boleh merawat satu penyakit saja dan mempunyai nama spesifik seperti doktor mata, doktor gigi, doktor anu dan doktor perut.

Artikel Lain Untuk Di Baca