Debaran final Piala Malaysia 2022 melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC pada 26 November ini kian dirasai apabila Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjadi tempat pertembungan itu sudah membuat persediaan rapi bagi mengendalikan saingan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata sesi turun padang meninjau tempat itu sudah diadakan pada Khamis lepas, bagi memastikan kelancaran aksi final tersebut.
Beliau menjelaskan penyelenggaraan kawasan padang serta pemeriksaan keselamatan telah dilakukan dan yakin SNBJ memang bersedia untuk menjadi hos final Piala Malaysia 2022.

Mengenai persiapan dilakukan bagi mengelak insiden SNBJ bertukar menjadi ‘bendang’ seperti pada aksi Malaysia dan Bahrain dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023, Jun lepas, Stuart optimis pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) lebih bersedia menangani isu tersebut supaya tidak berulang.
Selain itu, Stadium Nasional itu akan menjadi gelanggang rasmi skuad Harimau Malaya sepanjang kempen Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 bermula 20 Disember ini.

Skuad Harimau Selatan ke final Piala Malaysia 2022 selepas mencatat kemenangan dengan agregat 4-1 berdepan Sabah FC. Sementara Selangor melangkah ke pentas akhir selepas menang ke atas Terengganu FC dengan agregat 3-2.
Untuk membaca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: