Filem Animasi How to Train Your Dragon, Kisah Persahabatan Dan Cinta Antara Dua Orang Pejuang

“I can’t imagine a world without you in it.” Dialog yang dilontarkan oleh Astrid.

Apa yang kita boleh belajar dari hubungan ‘persahabatan lebih dari kawan’ antara dua orang pejuang, Hiccup dan Astrid, dari filem animasi How to Train Your Dragon ini?

Sebagai pelajar yang mengambil jurusan bimbingan dan kaunseling, antara minat saya adalah untuk memerhatikan gelagat dan tindak-tanduk manusia. Begitu juga dalam animasi ini, saya suka memerhati dua watak ini dari awal hingga akhir. Termasuklah dialog-dialog yang berlaku antara mereka berdua.

Hiccup adalah seorang anak muda lanun (viking) yang dipercayai oleh ayahnya dan juga masyarakat Berk untuk memimpin dan menjaga Berk. Istimewanya anak muda ini, darahnya membara dan semangatnya mengalir sebagai seorang pejuang yang ingin melakukan perubahan besar dalam hidup. Beliau juga tidak takut untuk menempuh musuh walau sehebat dan sebesar mana pun musuh-musuh tersebut.

Hiccup dilihat sebagai seorang yang hebat kerana kepandaiannya dalam menyusun strategi dan menjinakkan naga-naga yang beliau jumpa, terutama naganya sendiri yang bernama Toothless. Namun, banyak dari perancangannya itu bergantung kepada kekuatan Toothless serta naga-naga yang ada untuk berjaya.

Siapa pula Astrid ini?

Astrid adalah lanun perempuan yang selalu ada bersama Hiccup dalam perancangannya untuk melawan musuh. Mungkin sebahagiannya tidak akan berhasil jika tiada bantuan buah fikiran dan tenaga daripada Astrid.

Astrid selalu akan hadir ketika Hiccup sedang berseorangan memikirkan tentang keputusan yang telah dibuat, terutama ketika Hiccup sedang dalam keadaan bingung dan susah hati apabila ada musuh yang terlalu kuat, atau perancangan yang kelihatan mustahil untuk direalisasikan. Astrid akan mengajak Hiccup berfikir tentang tindakan yang dilakukan sama ada betul atau tidak.

Berikut merupakan dialog yang diluahkan Hiccup kepada Astrid. Ia menunjukkan bahawa peranan Astrid sangat besar dalam hidupnya.

“I should have noticed that necklace right away, but it’s not about that. I’ve been taking you for granted. I have, and I realized that today. I couldn’t have done any of this without you, Astrid, not the Dragon riders or the Edge. You’ve always been there for me, and I want to always be there for you. I love you, Astrid Hofferson, with everything I have. And I always will.”

Tanpa mereka berdua sedar, persahabatan yang erat itu sudah mula menuju ke arah hubungan yang lebih serius. Masing-masing berkongsi perasaan tetapi cuba menafikan pada awalnya. Hiccup dan Astrid sedar bahawa banyak perkara tidak akan tercapai dalam hidup tanpa pertemuan mereka berdua.

Ada yang mencadangkan mereka berdua untuk berkahwin, tetapi mereka menolak kerana belum bersedia dan tidak terfikir tentang perkara itu. Jika ingin berkahwin mereka perlu mencari masa yang sesuai untuk memikirkan dan merancang kerana perkahwinan Hiccup akan memberi kesan yang besar pada hidup mereka berdua dan rakyat Berk keseluruhannya.

Suatu hal yang perlu kita ambil peduli dalam urusan pernikahan adalah urusan pemilihan calon.

Secara dasarnya, kita mencintai seseorang kerana Allah dan kerana dirinya sendiri. Tetapi harus kita lihat juga aspek-aspek yang lain, terutama aspek persamaan (setaraf).

Ramai yang melihat persamaan itu adalah pada kefahaman beragama, tahap pendidikan, status ekonomi dan latar belakang keluarga. Tetapi apakah kita memandang juga aspek persamaan pada misi dan visi hidup serta apa yang menjadi perjuangan kita dan pasangan untuk meneruskan hubungan?

Apakah kita melihat dalam diri calon pasangan kita itu ada sifat dan kriteria yang mampu membantu kita berjuang dalam hidup, mampu bersama-sama kita mencapai impian dan cita-cita, dan memotivasikan kita di saat kita jatuh dan membimbing kita di saat kita melakukan kesalahan?

Hiccup tidak memilih Astrid kerana wajahnya yang cantik, dan begitu pula Astrid tidak memilih Hiccup kerana jawatannya sebagai pewaris takhta ayahnya.

Mereka berdua memilih kerana menyakini bahawa dalam mencintai seseorang, hubungan itu seharusnya menjadikan diri mereka lebih baik dari sebelum ini. Malah menjadikan diri mereka lebih matang dalam berfikir dan membuat keputusan serta bermanfaat untuk masyarakat.

Perkongsian dengan izin penulis asal, Inche Faris

Artikel Lain Untuk Di Baca