Fikir Jiran Dalam Bahaya, Lelaki Ini Telefon Polis Lepas Salah Sangka Dekorasi 2020 Sebagai Signal ‘SOS’

Niat baik seorang lelaki yang mahu membantu jirannya yang disangka berada dalam kesusahan bertukar menjadi bahan jenaka selepas signal SOS yang dilihatnya merupakan dekorasi belon 2020 yang sudah kehilangan satu daripada angka kosongnya.

Kejadian yang berlaku di Guiyang, China pada 31 Disember lalu bermula apabila lelaki berkenaan terlihat tanda SOS pada tingkap rumah jiran yang tinggal bertentangan dengan unit pangsapurinya yang berada di tingkat 19.

Beranggapan jirannya mungkin berada dalam masalah, lelaki itu segera menelefon talian kecemasan.

Walau bagaimanapun, sebaik pihak polis menyerbu rumah jiran terbabit mereka mendapati wanita itu tidak berada dalam masalah ataupun memerlukan bantuan perubatan.

Rupa-rupanya, tanda SOS yang dilihat oleh lelaki berkenaan dari rumahnya hanyalah belon yang sepatutnya mengeja angka 2020 sempena dekad baru yang berkunjung tiba.

Belon berkenaan gagal mengeja angka 2020 dengan penuh kerana angka kosong yang terakhir sudah kehabisan angin menyebabkan ia terjatuh ke lantai.

Menurut wanita yang tinggal di kediaman itu, dia yang bekerja sebagai guru tadika baru membawa pulang belon berkenaan usai menghadiri sebuah parti tahun baru pada malam sebelumnya.

Difahamkan, pihak polis sudah meminta wanita itu menurunkan belon berkenaan kerana bimbang jiran lain yang melihatnya menjadi panik dan menelefon talian kecemasan sekali lagi.

Meskipun sudah membuat panggilan palsu, lelaki berkenaan tidak dikenakan apa-apa tindakan tetapi dia menerima pujian daripada anggota polis kerana sanggup membantu jirannya yang dalam ‘masalah’.

Untuk membaca artikel lain berkaitan tahun baru 2020, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca