Festival Hantu Lapar, Ini Adalah 10 Perkara Tabu Yang Harus Dielakkan Pada Bulan Tersebut

Festival Hantu Lapar jatuh pada hari ke-15 pada bulan ketujuh kalendar Lunar. Pada tahun ini, Festival Hantu Lapar berlaku pada tarikh 15 Ogos.

Menurut kepercayaan tradisional kaum Cina, bulan ketujuh dalam kalendar Lunar merupakan bulan di mana roh-roh diberikan peluang untuk berjalan di muka bumi. Malah, roh-roh ini turut dibenarkan melakukan apa sahaja termasuk menyakiti manusia. Disebabkan itu, terdapat beberapa pantang yang harus dipatuhi untuk mengelakkan kemarahan hantu-hantu tersebut.

Berikut merupakan 10 perkara tabu yang harus dielakkan pada bulan berhantu ini.

1. Jangan menyepak makanan si hantu

Mungkin anda pernah melihat beberapa jenis makanan yang sengaja ditinggalkan di tepi-tepi jalan atau di bawah pokok. Bagi sesetengah individu, perkara ini mungkin dirasakan menganggu jalan. Namun begitu, ia merupakan satu idea yang sangat buruk jika anda menyepak ataupun mengalihkan makanan tersebut tanpa kebenaran.

Menurut kepercayaan, jika anda berbuat sedemikian, anda mungkin akan diganggu hantu yang marah kerana makanannya disentuh orang lain.

2. Jangan pijak duit neraka

Kelihatan seperti duit sebenar, duit neraka ini digunakan semasa Festival Hantu Lapar untuk diberikan kepada hantu-hantu yang berkeliaran. Jika anda dengan sengaja memijak duit ini, ada dikatakan telah mengundang kemarahan si hantu.

3. Elakkan membuka payung di dalam rumah

Pada bulan ini, anda harus mengelak daripada membuka payung di dalam rumah walaupun tujuan anda hanya mahu mengeringkan payung tersebut. Mengikut kepercayaan kaum Cina, hantu suka menyorok di bawah payung. Jadi, jika anda membawa payung yang terbuka ke dalam rumah, anda berkemungkinan akan menyeludup masuk makhluk halus ini.

4. Jangan gantung baju di ampaian pada waktu malam

Seperti mana pantang larang berkaitan payung tadi, menggantung baju di ampaian pada waktu malam juga diibaratkan seperti mengundang si hantu untuk melekat pada baju tersebut. Ada juga yang berpendapat, hantu akan melekat pada baju yang bergantung kerana fizikal baju yang nampak seperti badan manusia.

5. Jangan berada berdekatan kawasan berair pada waktu malam

Jika anda mencadangkan mahu pergi berenang pada waktu malam, anda mungkin akan dileteri warga tua kaum Cina. Ini kerana mereka percaya jika anda berada berdekatan kawasan berair pada malam hari, anda mungkin akan dilemaskan oleh roh mereka yang mati lemas. Hantu-hantu ini dikatakan sering menunggu mangsa di kawasan ini kerana mahu mencari badan baru untuk dilahiran semula.

6. Jangan duduk di kerusi kosong di barisan hadapan

Anda mungkin akan perasan akan kehadiran sebaris kerusi kosong di bahagian paling hadapan jika anda pernah mengunjungi persembahan secara langsung pada bulan ini. Tetapi anda haruslah tidak sama sekali duduk di mana-mana kerusi tersebut. Ini kerana kerusi-kerusi itu adalah buat hantu-hantu. Jika sesiapa melabuhkan punggung di tempat ini, anda akan terkena nasib malang.

7. Elakkan keluar pada malam hari

Mungkin kedengaran biasa, tetapi larangan ini adalah untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa rasukan hantu-hantu yang berkeliaran. Selain itu, jika anda keluar pada lewat malam, kemungkinan anda akan diekori ‘seseorang’ sehingga ke rumah.

8. Elakkan permainan yang boleh mengundang si hantu

Seperti di dalam filem seram yang menggunakan elemen permainan sebagai perantaraan, pengunaan barangan seperti Papan Ouija dikatakan memberi kesan yang memberansangkan pada bulan ini. Masalah akan timbul sekiranya makhluk ini enggan meninggalkan alam manusia atau apabila makhluk ini ternyata bukan seperti yang disangkakan.

9. Elakkan mengambil gambar pada waktu malam

Pantang larang ini adalah yang paling klasik dan sering menjadi salah satu babak dalam filem-filem seram di mana watak akan terlihat wajah yang menyeramkan di dalam gambar.

Menurut orang tua-tua, jika anda mengambil gambar terutama sekali di tempat yang gelap, anda berkemungkinan akan diganggu oleh hantu yang juga mahu gambarnya diambil.

10. Jangan tinggalkan penyepit secara menegak di dalam mangkuk

Menurut etika penggunaan penyepit atau chopstick, anda haruslah meninggalkan penyepit di sebelah mangkuk jika hendak berhenti makan.

Meninggalkan penyepit secara menegak di dalam mangkuk berisi nasi adalah sama sekali dilarang dalam budaya Asia Timur kerana ia akan kelihatan seperti colok yang digunakan seperti upacara penyembahan.

Hantu-hantu yang berkeliaran pada bulan ini akan tersalah anggap bahawa nasi tersebut adalah makanan buat dirinya. Jadi, jika anda termakan nasi tersebut, anda mungkin akan dirasuk oleh roh jahat.

Artikel Lain Untuk Di Baca