Fenomena Kahwin Lambat, Lebih 1 Juta Wanita 30 Tahun Ke Atas Masih Bujang

Dahulu apabila wanita mencapai umur 30 tahun ke atas dan masih belum berkahwin, pasti golongan masyarakat Melayu tradisional akan menggelar wanita itu sebagai anak dara tua ataupun andartu.

Namun, konsep andartu itu sudah kurang diberikan fokus pada zaman ini apabila wanita-wanita di Malaysia sudah mula berfikiran lebih moden dan bijak memahami kepentingan di dalam hidup mereka yang perlu diberi keutamaan terlebih dahulu.

Pada zaman ini pelajaran, pekerjaan dan kestabilan ekonomi merupakan perkara yang perlu dititik berat sebelum kita menuju ke alam perkahwinan.

Kes penceraian yang meningkat juga menjadi salah satu faktor utama wanita tidak mahu berkahwin kerana mereka bimbang akan ditinggalkan dalam keadaan sehelai sepinggang apabila tiada persediaan dilakukan sebelum berkahwin. Menurut artikel yang dipetik daripada Mstar, secara purata sebanyak 33 kes penceraian berlaku pada setiap hari sepanjang tahun 2018.

Petikan daripada Sinar Harian, melalui kajian Peratusan dan Bilangan Individu Bujang dalam kalangan 30 tahun ke atas mendapati Selangor merekodkan jumlah tertinggi wanita bujang dengan angka melebihi 1,014,327 orang. Johor pula berada di tempat kedua dengan seramai 636,537 orang.

Sifat terburu-buru untuk berkahwin tanpa melakukan persediaan terhadap diri sendiri boleh mendatangkan masalah kepada diri pada masa hadapan. Tidak dinafikan, jodoh dan ajal maut ketentuan Tuhan namun begitu dengan menyediakan payung sebelum hujan individu tersebut mampu mengelak daripada menderita di kemudian hari.

Natijahnya, kahwin lambat bukanlah satu perkara yang memalukan pada zaman ini. Semua masyarakat perlu memahami jodoh itu akan tiba apabila sudah tiba masanya dan persediaan daripada segi mental dan kehidupan yang stabil amat penting sebelum masuk ke alam perkahwinan.

Berkahwin atas dasar cinta sahaja tidak akan memudahkan alam perkahwinan pada masa hadapan.

Sebelum ini kami ada menulis artikel lain berkenaan kahwin lambat, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca